RSS
Write some words about you and your blog here

GAMBA BATCH 11 SMIH...





HARI INI SESUDAH KELMARIN..






"MAHU dengar cerita?" Kau membuat tawaran yang cukup menarik.

Aku panggung kepala, cuba mencari wajahmu. Bayu pagi mengelus lembut, sesekali menampar mesra ekor serban putihmu yang terjuntai. Kau baru sahaja kembali dari masjid, menyertai program qiamullail yang diadakan saban minggu.

Ibumu, merangkap ibu saudaraku, sesekali riuh kedengaran memarahi adik kembarmu, Ziad dan Usamah.


“Tentang apa? Kalau dalam lima minit masih tidak memenuhi seleraku, akutekan signal merah.” Ujarku membutir gelak. Kausenyum cuma. Matamu yang redup, mengerdip tenang.


“Pernah dengar tentang perang Arab-Israel?” Aku geleng. Sejarah merupakan subjek yang terakhir akucintai. SPM telah membuktikannya. 11 A dan 1 B. Sejarahlah yang ganjil itu. Lagipun sejarah umum semacam itu tak pernah aku cuba menelitinya. Masa senggangku lebih terisi dengan majalah ringan warna-warni yang membariskan lawak yang tidak mencabar akal.

“Kau tahu kedudukan Masjid al-Aqsa di sisi umat Islam?”

“Masjid ketiga suci selepas Masjidil Haram dan Masjid Nabawi.” Aku menjawab pantas, bimbang dituduh jahil. Kau sering bertanya seolah-olah ustaz yang menguji pengetahuan pelajar yang akan menduduki peperiksaan. Sering kali hati kecilku bertanya mengapa kau tidak mengambil jurusan agama - kau memilih jurusan kejuruteraan - di universiti.

“Aku tidak mahu memisahkan antara agama dan kehidupan. Aku mahu menjadi protaz professional yang juga seorang ahli agama).” Dan aku diam tak berkutik. Pastinya dengan ilmu yang dangkal, aku tidak mampu berbahas denganmu.

“Kauambil tahu apa yang sedang berlaku di sekitar rumah Allah SWT itu sekarang?”

Aku terpaksa angkat bendera putih. Aku benar-benar ketinggalan dalam hal ini.

“Biar aku ceritakan padamu. Pelampau Yahudi saat ini tanpa segan silu dan gentar menggali kawasan berdekatan masjid itu dengan alasan remeh, mencari tinggalan sejarah. Mereka juga menggali di perkarangan masjid itu untuk membina laluan pejalan kaki. Walhal, mereka berselindung di sebalik tujuan utama untuk merosakkan struktur masjid yang berusia hampir 1400 tahun untuk membina Kuil Suci - Haikal Solomon- dan apa tindakan penduduk dunia terutamanya umat Islam? Mereka diam membisu seolah mulut dizip, bimbangkan nyawa terancam oleh pendukung kuat Israel, Uncle Sam.”

Sunyi setagal. Mukamu memerah. Aku dapat melihat rasa marah yang teramat di situ. Matamu tunak ke depan, tidak berkelip.

“Aku masih ingat saat Amerika mencanangkan Islam sebagai agama yang kejam hanya kerana pemerintah Taliban memusnahkan patung Buddha Bamiyan di Afghanistan. Kejadian itu juga sebagai titik tolak untuk negara angkuh yang mendakwa dirinya polis dunia itu menubuhkan kerajaan boneka di negara itu dengan bantuan Pakatan Utara. Neraca Amerika tak pernah adil dalam menimbangkan? Unesco juga aktif menyelar tindakan itu. Pertubuhan Persidangan Islam (OIC) juga sepi tanpa suara, walaupun kewujudannya dulu pada September 1969 selepas insiden kebakaran masjid itu oleh Dennis Michael, penganut fahaman Zionis dari Switzerland.”

Kaumemuntahkan segala fakta yang tersimpan dalam memorimu. Aku menelan dengan air liur yang terasa sedikit kesat, betapa jahilnya aku tentang keadaan saudara yang dizalimi.

“Sebenarnya Israel sudah menguasai al-Quds. Hanya golongan lelaki yang berumur 50 tahun ke atas yang dibenarkan memasuki masjid untuk menunaikan solat. Yahudi amat bimbang jika umat Islam solat berjemaah kerana ia melambangkan perpaduan ummah dan perpaduan ini akan mengancam kedudukan penjarah itu di tanah yang dirampas. Tapi, sekarang tempat ibadah Muslim di bawah cengkaman kafir!” Suaramu kasar, sedikit membentak lantas menyambung.

“Pernah satu ketika ada gerakan Mujahidin dengan tekad yang kuat ingin membebaskan al-Quds dengan mempertaruhkan nyawa mereka. Keinginan ini tak mungkin terlaksana tanpa iman yang kuat dan yakin tentang janji Allah. Jerangkap samar beratur menanti nyawa, merentang jalan untuk membebaskan kiblat pertama umat Islam itu. Pengorbanan ini antara yang paling berani yang dirakamkan oleh sejarah, satu nyawa melayang untuk satu jerangkap samar sedangkan yang di belakang terus maju dan akhirnya berjaya menawan kembali masjid itu. Mahu tahu apa kata pasukan penjarah melihat keberanian itu?”

Kaubertanya dan kau jua yang menjawab.

“Kami berperang dengan orang gila yang mencari mati. Itu katanya saat melihat tentera Mujahidin berebut-rebut memburu syahid. Sedang tentera mereka sedaya-upaya mengelak daripada kematian.”

Angin semilir berpusar, menebarkan debu yang sesekali memekapi wajahku. Kaumeraup papan wajahmu. Sesekali cuti, rumahmu jadi tempat bersantai yang paling ideal. Paling tidak, kekayaan ilmumu sudi singgah menyiram kemarau fikiranku

“Adham, minum.” Suara Mak Ngah, ibumu memanggil. Kau dan aku seiring mengorak langkah dari beranda ke ruang tamu.

“Ah!” Aku menepuk dahi sendiri.

Televisyen sedang menayangkan drama bersiri negara seberang. Drama yang pada firasatku mampu memberikan impak yang positif terhadap pembentukan jiwa remaja. Sejenak aku mencongak dan cuba membanding beza antara tema drama negara sendiri yang mendominasi siaran media elektronik akhir-akhir ini.

Perkara yang paling jelas ialah kurangnya pergantungan kepada Tuhan atau penghayatan agama yang sekali gus menyalahi prinsip rukun negara yang teratas.

Tatkala masalah menimpa, pelakon drama tempatan lebih mudah mengamuk semacam dirasuk syaitan berbanding menadah tangan memohon doa, dikuatkan hati menerima ujian seperti yang dititikberatkan dalam drama negara seberang. Juga mereka senang melontarkan sumpah seranah tanpa menghiraukan kempen budi bahasa budaya kita yang dilancarkan oleh kerajaan.

Filem semacam ini, apa mampu digunakan untuk mempromosi negara, lebih-lebih lagi sempena Tahun Melawat Malaysia?

“Hei!” Satu bantal singgah tepat ke mukaku.

Kau semacam kerang busuk, sengih menayangkan gigi yang putih berbaris.

“Kerut seribu di dahimu, masalah apa?” Kau melontar tanya.

“Masalah negara agaknya.” Habib, adik bongsumu cepat saja menyampuk.

“Aku tengah berfikir bagaimana filem yang membenarkan remaja lelaki dan perempuan tinggal serumah berminggu lamanya, tanpa ikatan perkahwinan mempengaruhi jiwa anak-anak (sedang filem itu diberi pengiktirafan oleh masyarakat)?

“Kaubercakap tentang filem Melayu atau Hollywood?”

“Aku tidak mahu berbicara tentang filem yang negaranya mengamalkan seks bebas secara terang-terangan.”

“Oh!”

“Kanak-kanak senang meniru apa yang dilihat. Aku takut jika mereka menganggap hal itu suatu yang halal untuk dibuat dan cuba melakukannya, Nau’zubilllah!”

Ya Allah, minta dijauhkan fitnah itu menyerang hamba-Mu yang lemah. Dalam diam aku memohon.

Hari itu, sehingga bebola mentari tegak di kaki langit, kita larut dalam diskusi yang tidak pernah wujud noktahnya. Penamatnya hanya akan wujud pabila nyawa direnggut Izrail yang datang tanpa amaran.

Mak Ngah hanya melihat atau sesekali menyampuk pabila debat kita semakin hangat. Sering kali kauberkata dalam nada mengejek pabila hujahku mudah kaupatahkan.

“Lihatlah dengan mata hati, bukan mata nyatamu!”

Kau sering saja memancing kemarahanku, mentang-mentanglah aku ini muda tiga tahun daripadamu dan senyumanmu melebar ke telinga, meraikan kekalahanku. Aku tewas kerana tidak bersedia dengan fakta yang secukupnya untuk mencantas hujahmu dan sering kali aku berazam membaca sebanyak mungkin untuk tujuan itu.

Kita tamatkan debat yang tak dirancang pabila sayup alunan Surah al-Rahman dialunkan oleh Syeikh Abdul Rahman Sudaisi dari masjid berdekatan, menandakan solat fardu Zuhur akan mengambil tempat dalam suku jam lagi.

Petang itu, aku cuba-cuba membelek helaian akhbar, mencari fakta untuk dijadikan modal, andai tiba-tiba kau muncul memprovok dan mengganggu emosiku.

Pandanganku tertarik kepada sejarah Masjid al-Aqsa, tempat suci tiga agama samawi: Islam, Yahudi dan Kristian. Masjid ini pernah dibebaskan oleh Umar al-Faruq daripada pendudukan Kristian dan ia bertahan di bawah pemerintahan Islam selama 400 tahun sebelum ditawan pasukan pimpinan Raymond Toulouse dari keluarga diraja Perancis. Mereka memasuki Palestin melalui Acre pada 1099 M dan terus menduduki bumi yang menjadi rebutan itu.

Aku bagai terbayang-bayang bagaimana bumi al-Quds bermandi darah. Tentera salib melakukan pembunuhan beramai-ramai selama seminggu sehingga menimbunkan mayat tujuh puluh ribu Muslim termasuk cendikiawan, ahli ibadat dan pemimpin membukit memenuhi setiap jalan lorong. Kejadian ini telah menobatkan Godfry Gouillon dengan jolokan pembela al-Quds.

Tambah malang lagi, Kerajaan Islam yang wujud saat itu, kerajaan Abbasiyah dan Fatimiyah sekadar membisu melihat saudara mereka yang dinafikan hak tanpa berbuat apa-apa. Umat Islam sejak dulu lagi bersikap seperti enau di dalam belukar, hanya mementingkan diri masing-masing. Takutnya mereka kepada musuh melebihi takut kepada Penguasa Alam.

Aku susuri lagi galur sejarah. Al-Quds kembali ke tangan umat Islam pada 1187 di bawah pimpinan Salahuddin al-Ayyubi. Dan seluruh dunia menyaksikan bagaimana konsep perang di dalam Islam begitu berbeza dengan tentera salib ( Perang ini juga dikenali dengan Perang Salib ) saat mereka menawan al-Quds. Tiada nyawa orang awam yang hilang kerana perang hanya melibatkan tentera. Bahkan, tiada paksaan untuk penganut agama lain menukar agama kepada Islam kerana al-Quran telah menukilkan tiada paksaan dalam beragama.

Juga tiada rumah ibadat yang diruntuhkan kerana Islam amat menghormati tempat pengabdian kepada Tuhan.

Cuti yang masih berbaki lima hari, aku habiskan dengan menyelongkar buku-buku sejarah di perpustakaan mini di rumahku. Tak seperti selalunya, menghabiskan waktu pagi, atas ranjang melayani mimpi atau waktu sore di pondok di simpang jalan, cuti kali ini jadi berlainan.

Kau hanya senyum saat aku memperihal tentang itu. Aku kini boleh berbangga kerana tidak lagi terlopong saat kaubercerita tentang Israel, Palestin atau penjajahan moden yang berlaku atas alasan menegakkan demokrasi. Aku juga tak lagi segan untuk duduk semeja dan bertukar-tukar pendapat denganmu. Kita tak lagi bagai anjing dan kucing seperti sebelum ini.

Petang itu, kauberkunjung ke rumahku. Aku tidak tahu mengapa wajahmu lain daripada sebelum ini. Mendung bergayut di wajahmu bagai ada masalah besar yang bersarang dalam kotak fikir. Tingkahmu aneh sekali. Berkali-kali kaumeminta maaf kepadaku dan keluarga. Aku jadi tak berani mengajakmu membuat lelucon dan bercanda gurau.

Dan pertemuan itu, jadi tambah aneh kerana kaukeluar tanpa menyapa dan berbual-bual seperti sebelum ini. Aku jadi kecil hati dengan sikapmu. Ini bukan sifat engkau sepanjang dua dekad aku mengenalimu. Aku tidak pasti jika kau juga menyedari kepelikan itu.

Saat kau di pintu barulah aku teringat. “Aku balik ke kota berlumpur - gelaran kita untuk ibu kota - esok.”

Kau hanya mengangguk tanpa suara, tiada lagi pesanan berjela seperti sebelum ini. Aku kira aku harus senyap untuk tidak membebankan lagi peti fikirmu. Aku menghantar kepulanganmu hanya dengan lirik mata.

Detik menganyam masa. Masa menarah tebing hari. Aku membilang dengan jari jemari, hampir sebulan aku sepi tanpa khabarmu. Kau di mana?

Hujung minggu seperti selalunya, akhbar menjadi santapan rohaniku. Ruang pertama yang kutatap ialah ruangan luar negara, menjejaki perkembangan saudara seagama yang tak pernah wujud amannya. Masakan boleh pemimpinnya berjabat tangan, sedang penduduknya masih dibasahi hanyir darah dan penderitaan tanpa henti?

Lobi kolej dipenuhi oleh pelajar yang ingin keluar ke bandar, mencari keperluan atau sekadar mencuci mata. Aku tidak bercadang untuk keluar, memandangkan simpananku yang semakin menyusut.

Mataku singgah kepada berita yang mengambil tempat di pojok kanan akhbar. Berita itu meletakkan Baitulmaqdis sebagai tempatnya. Ia memaparkan seorang pelajar universiti yang ditahan rejim Zionis kerana disyaki terlibat dalam merancang serangan berani mati (sering kali kita berkecindan, Israel hanya hebat jika membuat serangan takut mati).

Secercah mata, gambar yang terpampang di situ menarik minatku untuk menatapnya buat kali kedua. Ada tampang yang kukenal. Bukankah hijau itu warna kegemaranmu? Ya Allah, aku menggenyeh-genyeh lagi mata. Benarkah itu dirimu?

“Ibu, sudah lihat akhbar?” Aku menelefon serta-merta.

“Ya.” Cukup dengan sepatah itu yang hampir membuatku pitam. Untung nasibmu tidak mampu aku ramalkan setelah rejim itu berhasil mengurungmu dalam sangkar besi. Ditahan tanpa perbicaraan atau diseksa sehingga menjadi gila?

Dan hari ini, sesudah kelmarin kaupergi, izinkan aku terus membajai tarbiah yang kausemaikan dalam jiwa ini, walau pemergianmu ke bumi berdarah itu tiada dalam pengetahuanku.

INSAN BERNAMA KEKASIH..

Seruan Cinta Terzahir Di Mata

Mata penulis tajam memerhatikan dengan penuh pengamatan bangunan peninggalan sejarah itu dengan mata berkaca-kaca. Boleh dikatakan setiap hari penulis akan mendatangi satu ceruk laluan berpagi-pagian untuk mencari mutiara-mutiara berharga di persisiran mahligai terunggul di rantau ini. Semenjak berpindah ke rumah baru, penulis tidak lagi perlu bersusah -payah memerah keringat menunggu, berhimpit-himpit dan berpanasan di dalam bas kerana jarak dari rumah ke universiti hanya mengambil masa 10 minit perjalanan. Kalau hendak diikutkan mungkin ada sahaja mereka yang pantas memberikan alasan;

“Masih jauh tu.”

“Ala, naik bas bukannya mahal sangat pun, dengan mata wang Mesir ni.”

“Tidak mengapalah, enta jalanlah dulu ana ikut dari belakang.”

Namun keindahan setiap jalanan di angkasa lukisan arca bangunannya tidak tumpah seperti sebuah kota lama yang masih segar, kaki memacu gagah melangkah ke hadapan, saban hari setiap waktu dan ketika, laluan ini, bumi kota lama ini tidak pernah sirna dari derapan bunyian ribuan kaki melangkah, berlari-lari anak dan hentakan kuat deruman enjin tua. Suara-suara dari segala sesuatu meruak-ruak dalam gelombang besar dan tersuling ke liang-liang bisikan setiap yang melaluinya.

Kali ini, penulis merasakan ada sedikit kelainan yang bermain di jiwa, seakan-akan mengajak penulis mengukir bait sebagai pahatan kenangan di setiap dinding bangunan unik itu. Penulis hampir tertewas pada lamunan kecil iblis bermain hebat di pancaindera, seolah-olah berada pada kurun masa sewaktu tapak bangunan ini ditegakkan.

“Erm, mungkin sudah ratusan tahun.”

Bisik hati penulis sambil cuba mencari kepastian kalau ada catatan usang yang bertarikh pada deretan bangunan ini.

“Kenapa kali ini hati aku tertewas pada polimikan seni bina bangunan?”

“Apakah sebelum ini aku tidak pernah melalui di celah-celah batu-batu yang berkotak lebih indah dan lebih canggih dari ini?”

Penulis terkesima hebat sambil mata bagaikan melekat kuat pada batu-batu tersusun rapi itu. Lamunan hati penulis mati seketika dek terdengar dari dekat laungan azan muazin berteriak lantang. Hati penulis tergerak untuk mencari kebenaran di sebalik tilikan tidak bertauliah sebentar tadi, mana tahu mungkin ada siapa-siapa yang lebih tahu tentang sejarah bangunan dan tembok besar yang masih tersisa di luar sana. Kaki penulis bergerak terancang seiring rabaan mata menguyu mencari dari mana arah azan itu berkumandang. Sambil berjalan telinga penulis menangkap kemas suara-suara bel dan paduan nada malakut terkadang-kadang mencair jauh. Penulis menyaksikan pertengkaran di sebelah tempat penulis mengelamun sendu tadi, dua perempuan saling melayan ke arah masing-masing dan seketika mereka ditarik untuk dilepaskan, pakaian rumah mereka berterbangan terlepas ke udara seperti bulu-bulu yang sangat besar.

Penulis terpesona sekejap dengan adegan-adegan yang tidak berbayar itu, boleh dikatakan sudah menjadi rutin harian orang-orang Arab akan berirama keras sesama mereka hanya kerana masalah kecil. Kaki terus memandu tubuh yang semakin mengurus, tiba-tiba mendekat suara serak-serak basah yang muncul dari antah berantah, tapi yang pasti suara itu bukan roh yang tersesat;

“Anak mahu ke mana?”

Suara seorang tua Arab bertongkat bergerak laju sedikit daripada penulis.

“Pakcik apa khabar?”

Wajah penulis menjadi rembulan menatap kasih padanya.

“Saya mahu mencari arah suara azan tadi berkumandang.”

Jawab penulis tersimpul manis di bibir.

“Pakcik tahu, di mana masjid tu?”

Penulis terasa agak malu sedikit, masakan hal sekecil itu tidak boleh diselesaikan sendiri.

“Mari nak, pakcik tunjukkan. Pakcik pun mahu ke sana juga.”

Sambil memegang lembut tangan penulis memimpin ke arah suatu bagunan tersorok kecil dari pandangan.

“Patutlah tak jumpa,di sebalik bangunan rupanya.”

Penulis membiarkan tangan terus disuluh oleh orang tua Arab itu, sambil tersenyum malu. Baru penulis mengerti bahawa sebuah cinta suci itu, tidak semestinya perlu disaksikan dengan suara yang keluar semata-mata, cinta yang indah tidak perlu mencari sesat, cinta yang bersulam secangkir iman tidak perlu meminta berharap dan cinta itu tidak perlu dibayar dengan material yang terpancak.

Cinta sebenar hanya perlu sedikit pengorbanan dan pengertian di sebalik tembok kukuh yang pernah dibina oleh Nabi Adam a.s dan Nabi Yusof a.s suatu ketika dahulu bersama pasangan masing-masing. Rasa kagum pada lukisan ukiran bangunan dan keseniannya juga merupakan cabang-cabang cinta yang lahir secara ikhlas sepersis mawar berduri petanda kasih yang masih belum termiliki. Inilah kejujuran yang pasti, tanpa perlu mencari dan meraba-raba senuansa ciptaannya oleh Tuhan yang Maha Mengerti akan keperluan sekalian hamba-Nya.



Pencarian Sebuah Potrait Cinta

Perkahwinan adalah suatu tuntutan dalam Islam. Antara perkara penting sebelum melangkah ke alam pernikahan ialah hal yang berkaitan dengan pencarian pasangan hidup kerana di sinilah cinta suci lagi halal akan dibina, untuk sama-sama merasai susah senang, jatuh bangun sebuah kehidupan berumahtangga demi melihat pemerkasaan benteng pertahanan Islam terus kukuh dengan lahirnya generasi zuriat sebagai pejuang menggalas kesinambungan para mujahid terdahulu. Rumahtangga tadi sekiranya dibina dengan tapak semaian keimanan, ketakwaan dan kasih sayang serta dipikul penuh amanah, sudah tentu akan bercambah biak kebahagian dalam melahirkan generasi yang soleh dan solehah serta jauh dari pergolakan amukan jiwa memberontak.

Islam telah menyediakan garis panduan yang lengkap kepada bakal-bakal suami dan isteri di dalam memilih pasangan hidup. Nabi pernah bersabda;

“Dinikahi perempuan itu kerana empat perkara, iaitu kerana hartanya, kerana kecantikannya, kerana keturunannya dan agamanya. Oleh itu, utamakan wanita beragama nescaya kamu akan beruntung.” (Hadith riwayat Muslim)


Apa yang dapat kita fahami, dari maksud hadith di atas ialah ciri-ciri yang paling baik dalam memilih calon bakal isteri iaitu mereka yang mempunyai pengetahuan dan beramal dengan ajaran agama. Mungkin pernah terlintas di benak hati kita untuk memiliki gadis yang memahami perasaan dan bersedia menyelami setiap pahit maung hidup seorang suami yang terpaksa bekerja keras dalam memikul amanah yang cukup banyak.

Pemilihan pasangan hidup tidak boleh dipandang ringan. Islam amat menekankan isu ini disebabkan kesannya di dalam kehidupan bermasyarakat dan keharmonian dalam negara adalah amat besar kerana jika pergaduhan dan penceraian di antara suami dan isteri akan mengakibatkan rumahtangga dan nasib anak-anak terumbang ambing. Jika demikian, bagaimana generasi pelapis negara dapat dilahirkan? Sudah tentu apa yang diharapkan ibarat “bermimpi disiang hari” semata-mata.

Tanggungjawab membentuk rumahtangga yang bahagia dan melahirkan generasi cemerlang amatlah berat. Justeru, keteguhan dalam pegangan agama suami isteri perlu dipertingkatkan agar kita lebih bersedia menghadapi ujian dan cabaran hidup berumahtangga. Allah Taala berfirman;

“Ketahuilah bahawa harta benda dan anak pinak kamu itu adalah ujian, dan sesungguhnya di sisi Allah Taala jualah pahala yang besar.” al-Anfal (8:28)

Sehubungan dengan itu sebagai bakal ibu dan bapa kepada bakal anak-anak, kita hendaklah menyemai benih yang ditanam dalam hamparan semaian iman sejak kecil lagi agar bila mereka besar kelak akan bercambah biak padanya asas pengetahuan agama sekaligus melebar luas pada saksiah ruhiah dalaman yang mantap. Berikan mereka bimbingan dan panduan tepat tentang kehidupan berkeluarga agar anak-anak tahu dan faham tentang adab-adab pergaulan sesama manusia yang berlainan jantina. Mengawal dan mengurus perasaan cinta kepada orang lain yang bukan mahramnya serta batas-batas yang sesuai dengan ajaran agama. Mana mungkin sebuah kehidupan rumahtangga yang bercampur baur di antara ketaatan dan kemaksiatan dapat melahirkan generasi yang hebat lagi cemerlang sebagai penyambung zuriat keturunan. Nabi pernah bersabda;

“Setiap anak yang dilahirkan adalah dalam keadaan fitrah iaitu suci bersih, kedua ibu bapalah yang akan mencorak (kehidupan) mereka sama ada menjadi Yahudi, Nasrani atau Majusi. Sebagaimana seekor ternakan melahirkan anaknya (dengan sempurna kejadian dan anggota). Apakah kamu menganggap hidung, telinga dan lain-lain anggotanya terpotong?”

Padahal cinta yang tulus mulus hendaklah bermula pada Dzat Maha Kuasa yang mencipta perjalanan darah yang unik sehinggakan menghasilkan perasaan cinta dan kasih sayang sebagai salah satu fitrah insani yang perlu dihayati dari hati jatuh ke hati. Dia tidak pernah mencerca hina para hamba-Nya walaupun di sana kemurkaan-Nya sangat jelas dan sensitif pada kemaksiatan yang dilakukan oleh sekalian hamba-Nya. Namun kasih sayang Allah Taala Maha adalah segala-galanya, mengatasi kemurkaan-Nya tatkala hamba-Nya sudi merafak sujud di keheningan malam syahdu mengharapkan keampunan dengan mengakui kesalahan dan melahirkan rasa penyesalan di atas kelalaian dalam memilih sebuah perjalanan yang diredhai-Nya. Allah Taala berfirman;

"Hai anak Adam, kamu tidak adil terhadap-Ku. Aku mengasihimu dengan kenikmatan-kenikmatan tetapi kamu membenci-Ku dengan berbuat maksiat-maksiat. Kebajikan Kuturunkan kepadamu dan kejahatan-kejahatanmu naik kepada-Ku. Selamanya malaikat yang mulia datang melaporkan tentang kamu setiap siang dan malam dengan amal-amalmu yang buruk. Tetapi hai anak Adam, jika kamu mendengar perilakumu dari orang lain dan kamu tidak tahu siapa yang disifatkan pasti kamu akan cepat membencinya." (Hadith Qudsi)

Mahar Cinta Terhutang

Penulis merenung sejenak, seusai melaksanakan tuntutan agama di masjid itu, di petang indah sayut menunggu camar berterbangan pulang ke sarang. Jika mengharuskan penulis jatuh cinta kepada seorang perempuan yang halal dikahwini, maka pengalaman jatuh cinta itu boleh penulis gambarkan secara fakta dan boleh pula penulis gambarkan secara fiksi.

Kalau secara fakta, maka penulis tentu akan melaporkan berapa tekanan darah, berapa denyutan nadi per minit dan bagaimana komposisi hormon serta enzim yang ada di dalam tubuh penulis bergerak sepersis tumbuhnya rasa kasih dan cinta itu, seperti catatan di kaki tempat tidur seorang pesakit di hospital, yang setiap pagi dibaca oleh oleh para doktor dengan raut wajah tanpa emosi.

Adapun kalau secara fiksi,maka penulis akan menggambarkannya begini;

“Terimalah lamaran sang kekasih untuk beradu di kamar hati.”

“Jemput abang di Lembah Nil yang setia.”

Akan aku utuskan dewa-dewa kasih ke sangkar hatimu.”

Gambaran yang lebih berbentuk suatu ungkapan puitis untuk dihamburkan ke liang telinga terus menerjah ke hati yang dalam untuk menghantar impuls perasaan suci ditafsirkan semulus tindakan yang terzahir di mata. Kalau seseorang ingin mengetahui atau mengalami bagaimana rasanya jatuh cinta, manakah gambaran yang lebih relevan baginya? Penulis merasakan, orang itu tentu akan memilih penggambaran secara fiksi diletakkan di hadapan manakala fakta adalah penguat pada hati untuk terus teguh pada pendirian yang lahir dari fiksi.

Spiritual atau jatuh cinta kepada Tuhan Maha Agung adalah fakta yang lebih abstrak daripada jatuh cinta kepada seorang perempuan. Oleh itu, menurut hemat penulis, agar orang lain boleh mengetahui dan merasakan pengalaman tersebut, maka perasaan itu akan lebih efektif bila digambarkan secara fiksi. Memang benar, pengalaman itu boleh juga digambarkan secara fakta dalam bentuk teologi atau psikologi. Namun penulis merasakan gambaran seperti itu tidak akan secara normal boleh melahirkan rasa cinta berputik dan menggetarkan hati-hati yang merasainya. Walau bagaimanapun, ianya tidak mustahil kerana sejarah telah membuktikan pada zaman para sahabat, bagaimana mereka merasakan cinta yang tumbuh mekar di hati hanyalah layak untuk Tuhan yang Esa sahaja. Allah Taala berfirman;

“Sesungguhnya orang-orang yang beriman itu adalah mereka yang apabila disebut nama Allah bergetarlah hati mereka dan apabila dibacakan kepada mereka ayat-ayat-Nya bertambahlah iman mereka (kerananya) dan kepada Tuhan jualah mereka bertawakal.” al-Anfal (8:2)

“Membicarakan tentang CINTA ibarat menguras air lautan dalam yang kaya dengan pelbagai khazanah alam. Takkan pernah habis dan kita akan sentiasa menemui berjuta macam benda. Dari sekecil-kecil ikan hingga ikan paus yang terbesar. Dari kerang sampai mutiara malah jika diizinkan Allah, kita mungkin menemui bangkai kapal dan bangkai manusia. Usia CINTA seumur dengan sejarah manusia itu sendiri. Jika di suatu tempat ada 1000 manusia maka di situ ada 1000 kisah CINTA. Dan jika di muka bumi ini ada lebih 5 million manusia, maka sejumlah itu pulalah kisah CINTA akan hadir.”

Sungguh indah cinta itu, jika ditafsirkan dalam erti maksud yang sebenarnya.

Jalan Sunnah Hiasi Rumahtangga

Ketahuilah,bahawa rumahtangga ini adalah sebahagian dari fasa-fasa perjuangan yang harus kita jayakan bagi mencapai matlamat suci kita. Islam sebagai rahmat bagi seluruh alam. Rumahtangga ini adalah obor bagi masyarakat Islam yang cemerlang. Oleh kerana ia adalah sebahagian dari perjuangan di atas jalan dakwah, maka ianya juga tidak akan terlepas dari sunnah jalan dakwah ini. Bahawa sunnah jalan dakwah ini daripada dulu, kini dan akan datang bukanlah jalan yang merehatkan. Ia bukan juga jalan yang dihampari oleh permaidani merah dan ditaburi oleh bunga-bunga yang indah. Ia adalah jalan yang penuh ujian dan kesulitan tetapi di hujungnya terdapat kemanisan. Maka tidak seharusnya kita merasa bersedih hati di kemudian hari atau merungut atas kesulitan dan ujian yang akan dihadapi walaupun berbeza kerjaya dan lapangan.

Oleh kerana ia adalah sebahagian dari perjuangan, maka kepentingan perjuanganlah yang akan mencorak rumahtangga ini baik diri penulis mahupun bakal pendamping kelak. Kepentingan perjuangan ialah kepentingan Islam dan masyarakatnya serta wadah perjuangan yang mendukungnya. Jika kita fahami apa yang dinyatakan tadi, maka tentulah diri kita terasa terlalu kerdil untuk memikul tugas ini. Hanya dengan bantuan Allah swt sahaja kita akan berjaya. Namun, sejauh mana Allah swt akan membantu kita adalah terletak pada sejauh mana kita mampu menepati segala kehendak-Nya. Justeru itu, kemungkaran adalah sesuatu yang asing dan sangat sensitif bagi rumahtangga ini kerana ia adalah penghijab bagi kita dari bantuan Allah Taala dan akan lebih menyukarkan jalan ini.

Bagi seorang mukmin, kecintaannya hanyalah kepada Yang Satu, cinta kepada Allah swt. Kalau dia harus mencintai yang lain, maka ia adalah cinta kerana Allah swt. Inilah ikatan yang akan mengikat hati kita, cinta kepada Allah dan bercinta kerana Allah swt. Semoga dengan ini kita akan digolongkan di dalam salah seorang daripada tujuh golongan yang mendapat perlindungan Allah Taala di padang Mahsyar kelak, lelaki dan wanita yang saling mencintai kerana Allah swt semata-mata.

Tanpa ikatan perkahwinan ini pun, hati kita pasti diikat dengan rasa ukhuwwah fillah, kesatuan fikrah dan matlamat dari satu wadah perjuangan (menegakkan agama Allah Taala) yang sama. Ikatan-ikatan ini sahaja sudah cukup untuk kita saling mengasihi antara satu sama lain. Begitu kukuh ikatan antara mereka yang mempunyai fikrah dan perjalanan hidup seumpama ini, dalam dambaan cinta-Nya.

“Adam as bangkit dari pembaringannya, memperbaiki duduknya. Dia membuka matanya, memperhatikan dengan pandangan tajam. Dia sedar bahawa orang asing di depannya itu bukanlah bayangan selintas pandang, namun benar-benar suatu kenyataan dari wujud insani yang mempunyai bentuk fizikal seperti dirinya. Dia yakin ia tidak salah pandang. Dia tahu itu manusia seperti dirinya, yang hanya berbeza kelaminnya saja. Dia serta merta dapat membuat kesimpulan bahawa makhluk di depannya adalah perempuan. Dia sedar bahawa itulah dia jenis yang dirindukannya. Hatinya gembira, bersyukur, bertahmid memuji Dzat Maha Pencipta.”

CINTA dalam Islam ialah untuk mereka memahami Islam dan tuntutan syariat, serta sentiasa berada dalam tarbiah, di samping tahu akan kehendak tuntutan fitrah suci manusia itu. Bukan sahaja manis dibibir tapi bersedia untuk mengambil si 'dia' sebagai pemaisuri hati untuk sama-sama melihat Islam menjadi kuat dan dihormati kawan mahupun lawan, dengan pelbagai cara terutama dalam meramaikan zuriat yang mampu mendokong perjuangan para syuhada' terdahulu. Kenal dengan cara mendalam (walaupun tidak menyatakan secara terus terang) merupakan kasih sayang yang suci kerana bimbang diri tidak boleh menahan gelojak nafsu yang sentiasa bersedia untuk menyerang. Inilah taaruf atau konsep cinta yang ditaja oleh Islam yang penuh berhati-hati dan menjaga kemaslahatan semasa. Para hukama' pernah bermadah;

Barangsiapa yang bercinta (dengan menjaga batasan dalam Islam dan untuk mencari keredhaan Allah swt semata-mata) dan bilamana mereka mati (semasa cinta masih bertaut) maka matinya itu dikira sebagai mati syahid."

XCELL..

Salam semua...alhamdulillah bersyukur ke hadrat dgn limpah kurnianya dpt lg ana menghirup udara segar dimana bila2 mase saja ALLAH akan menarik nikmat itu. Selain itu, ana masih dlm dua nikmat paling besar bg seorg muslim iaitu IMAN & ISLAM.



InsyaAllah sekarang ana ingin berkongsi cerita dengan pembaca mengenai program XCELL yg telah dijalankan pada 15-17 Mac 2009. Program ini telah dianjurkan oleh KRJ Pusat. Program ini berlangsung di P.Pinang. Program ini disertai oleh seluruh negeri di semenanjung Malaysia kecuali Perlis.



Peserta dari Johor ada dalam 15 org.

IKHWAH

1: Irfan Masiri

2: Abdullah Zubayr b Mohd Aizaini

3: Abdullah Abbas b Mohd Jelani

4: Ahmad Danial Maula b Mohd Razman

5: Abdullah Mubarak b Hasanuddin

6: Daeng Ahmad Luqman b Ahmad Tarmizi

7: Mohd Effy Fitri b Mohd Fathil

8: Nu'man Zaki b Yunus

9: Ahmad Naqiuddin b Mohd Tahir

10: Mohd Adam b Mahmud



AKHAWAT

1: Safiah bt Khairuddin

2: Zatil Hidayah bt Adnan

3: Hanan bt Hamidon

4: Nidaa Ul Hani bt Mohd Ghazali

5: Fatimah Az-Zahra bt Ainolluthfi


PENGIRING

Abdullah Munir b Mohd Aizaini

14 Mac 2009 10:00p.m.
Alhamdulillah, ana bertolak dari rumah Danial dalam pukul 10:00 mlm. Ana tumpang Danial utk pergi ke Stesen Bas Sri Putri. Setelah sampai, ana telah disambut oleh sahabat2 ana. Setelah semua peserta sampai Kak Azizah(Gee) mintak yuran. Dalam pukul 10:30 bas pon sampai. Apa lagi kitorang pon naik la bas tu.


15 Mac 2009
Alhamdulillah kami sampai di Stesen Bas Sg. Nibung dalam pukul 6:30 pagi. Setelah sampai, kami cari tempat utk solat subuh. Setelah solat subuh kami ke bas stop yg berdekatan. Kami perlu naik bas yg bernombor 401. Bas ini akan membawa kami ke Balik Pulau. Kami tunggu dalam sejam lebih gak la. Pukul 9:00 bas tu sampai. Perjalanan dari bas stop ni ke Balik Pulau mengambil masa dalam setengah jam. Setelah sampai kami mendaftarkan diri kami. Program bermula dalam pukul 10:00. Program ini telah dirasmikan oleh En Tuah YDP JIM Barat Daya. Setelah perasmian, berlangsung lah slot seterusnya iaitu Ice Breaking. Selepas ice breaking, ade slot yg diberi nama Belajar Secara Teori yang disampaikan oleh Dr Munirah bt Mohd Ghazali dari USM. Lepas slot ni, ana & team ana pi mandi sebab x mandi dari pagi. Lepas solat Zohor & Asar(jama') kami ada slot yang bernama Belajar Secara Praktikal. Lepas slot ni kami ada Explorace yang bermula pada pukul 5:15 ptg. Dalam exlporace ni banyak berkait dengan iman kita. Dalam explorace ini ade klu yang perlu kita kumpul. Klu dia ialah ASLEH NAFSAKA WADU' GHAIRAK. Team ana dapat no 1 bagi Ikhwah & no 3 bg keseluruhan. Lepas habis mengexplore ana pon mandi. Lepas solat Maghrib & Isya' kami pon menjamu selera. Pada pukul 9:00 ada slot yang di beri nama Cemerlang Akademik Cemerlang Dakwah yang disampaikan oleh Kak Hawani, pensyarah USM & Abg Amir Pengerusi Karisma Penang. Terlalu banyak input yang didapati dalam slot ni & sangat berharga bagi ana.

16 Mac 2009
Kami perlu bangun dalam pukul 5:00 untuk qiamullail. Lepas solat Subuh kami ada riadhah yang di conduct oleh Mejar Zaidi. Agak penat la beriadhah macam askar. Tapi tak pe, walaupun penat, banyak pengetahuan yang ana dapat. Lepas ISOMA, kami ada slot yang diberi tajuk Gen X Gen Y. Slot ni berkisar tentang bagaimana Gen X (pak cik2 yang berumur 50 tahun keatas) mula2 menjalankan dakwah. InsyaAllah kami yang berumur 17 tahun sekarang akan menjadi Gen Y pada 12 tahun akan datang. Selepas habis slot ini, kami akan membuat lawatan ke USM. Kami bertolak dari Masjid Al-Mukhtar ini pada pukul 11:00 pagi. Dari masjid ini ke USM mengambil masa dalam setengah jam. Setelah sampai kami ada slot iaitu Tokoh Ilmuan Islam. Tokoh yang diceritakan dalam slot ni ialah Salahudin Al-Ayubi. Pada hari itu ana baru tahu nama sebenarnya ialah Yusuf. Lepas slot ini, kami makan tengah hari & solat Zohor. Lepas solat kami bergerak mengelilingi USM selama sejam setengah. Selepas penat menjelajah USM kami pon berhenti sat nak minum air. Pukul 4:00 kami bertolak ke Masjid Terapung. Kami solat Asar disana. Sambil tunggu waktu solat kami bergambar dengan masjid ini untuk dijadikan sebagai kenangan. Lepas solat kami disajikan roti berkrim & air botol oleh pihak masjid. Masjid terapung ni memang lawa. Tapi tak dapat nak tunjuk gambar sebab gambar ada kat kawan ana. Lepas makan, kami pon balik. Sepatutnya program habis pukul 10:00 malam, tetapi disebabkan hujan, program terpaksa diberhentikan & kami pon balik semula ke masjid tersebut. Setelah sampai di masjid, kami disajikan nasi lemak pelbagai perisa. Lepas makan ana pon mandi sementara masuknya waktu Maghrib. Lepas solat Isya kami telah disajikan makanan otak iaitu Ilmu Falak. Ana berasa sangat teruja dapat tahu mengenai bintang2 planet2 yang ada di Alam Semesta ini. Yang paling ana rasa teruja ialah ada sebuah planet yang sanggup menjadi bahan hentakan dari meteorit bagi melindungi planet2 yang berada di bawah nya. Planet itu bernama Musytari. Sesudah slot ini habis baru kami makan malam pada pukul 10:30 malam. Lepas kami pon tidur.

17 Mac 2009
Pada hari pon kami dikehendaki bangun pada pukul 5:00. Lepas qiam sat, ana pon sambung tidor sambil tunggu azan Subuh. Lepas solat Subuh kami mendengar tazkirah. Lepas tazkirah kami pon beriadhah. Sekali lagi riadhah ini di conduct oleh Mejar Zaidi. Tapi hari ini tak sepenat semalam sebab hari ini hujan, so tak boleh nak buat lasak2. Lepas sarapan kami ada satu slot dimana slot ini memang ana tertunggu2 sebab yang bagi talk masa slot ini ialah Dr Daniel Zainal Abidin. Slot ni bernama Tokoh Ilmuan Islam. Tokoh yang di bentangkan ialah Nabi Muhammad S.A.W. Dr Daniel banyak jyga selitkan ilmu2 Sains dalam membentangkan slot. Ana sangat teruja dapat mengikuti talk secara berdepan dengan Dr Daniel ini. Alhamdulillah slot ini habis dalam pukul 12:00. Lepas slot ini, ada lagi satu slot yang terakhir iaitu Impian Melangit & Satu Tekad. Slot ini telah di conduct oleh Abg Bai(Hafiz b Abdul Hamid). Lepas solat Zohor & Asar kami pon menjamu selera untuk kali yang terakhir. Lepas makan kami pon bersiap nak balik, sambil tunggu bas kami pon mengambil gambar sebagai kenangan.

Alhamdulillah, begitu la sedikit sebanyak tentang program XCELL yang telah ana tempuhi. Kami ialah GEN 3 bagi PRODUCE KRJ. Kami telah melalui 4 program iaitu XREK, LeADERs, XPERT, & XCELL. Kami ada lagi satu program iaitu MHI. ASSALAMUALAIKUM...

Sains Islam & Sains Barat.


Islam tidak pernah mengetepikan sains. Sains mengikut Encarta Encyclopedia ialah, "Systematized knowledge in any field, but applied usually to the organization of objectively verifiable sense experience." Ia bermaksud, "Sains dalam skop yang luas bermaksud ilmu-ilmu yang diperoleh secara sistematik berdasarkan pengalaman deria yang dapat dibuktikan secara objektif."

Secara umumnya, sains boleh didefinisikan sebagai ilmu yang dihasilkan melalui cerapan (iaitu analisis dengan menggunakan panca indera) serta fahaman yang lahir daripadanya. Ia juga boleh diertikan sebagai huraian secara sistematik tentang fenomena tabii atau alam semula jadi. Huraian secara sistematik melibatkan penggunaan intelek di samping kaedah yang dapat diukur (quantitative). Jika diamati definisi-definisi ini, ia memang telah ditekankan oleh Islam berdasarkan dalil-dalil dan nas yang telah disebutkan sebelum ini.

Ilmu sains melahirkan teknologi. Teknologi (mengikut Merriam-Webster Dictionary, The American Heritage Dictionary of the English Language: Fourth Edition dan WordNet Dictionary), boleh didefinisikan sebagai, "Pengaplikasian atau penggunaan ilmu terutamanya ilmu sains secara praktikal dan digunakan terutamanya dalam bidang perdagangan dan industri untuk kemanfaatan manusia." Justeru, ilmu sains merupakan alat penting untuk membina teknologi namun ilmu sains bukanlah teknologi. Sebagai contoh, sains membicarakan tentang teori atom dan daripada itu lahirlah teknologi yang menghasilkan kuasa atom.

Keterbatasan Sains

Islam memberi kebebasan kepada para saintis untuk mengkaji, namun ia menyedari keterbatasan intelek yang dimiliki manusia. Justeru, sains Islam menjadikan wahyu sebagai sumber rujukan yang tertinggi. Dalam erti kata yang lain, dalam Islam, wahyu mengatasi akal kerana wahyu datang daripada kuasa tanpa batas sedangkan akal terbatas. Sains tidak boleh mengatasi wahyu. Apa-apa konklusi yang bercanggah dengan dasar-dasar wahyu dianggap sebagai konklusi sains yang salah dan apa-apa yang selari dengannya bolehlah diterima. Dalam hal ini Allah berfirman dalam surah al-Jathiyah ayat 20,

"Al-Quran ini adalah pedoman bagi manusia, petunjuk dan rahmat bagi kaum yang meyakini."

Justeru, sains dalam Islam ialah sains yang berkonsepkan tauhid. Sains dalam Islam tunduk kepada prinsip-prinsip yang ditetapkan Allah melalui rasulnya. Sains dalam Islam tunduk kepada al-Quran.

Di barat konsep yang merujukkan sains kepada Tuhan, wahyu dan kuasa ghaib dikenali sebagai creationism. Kadang kala ia dikenali juga sebagai intelligent design. Konsep-konsep ini ditolak oleh ramai saintis di barat. Sebagai contoh, para saintis daripada Akademi Sains Kebangsaan di Amerika (The U.S. National Academy of Sciences) menegaskan bahawa "sebarang kenyataan yang menetapkan bahawa asal usul kehidupan ini ada perkaitan dengan kuasa ghaib (supernatural intervention) tidak boleh diiktiraf sebagai sains." Hal ini dinyatakan dalam Science and Creationism: A View from the National Academy of Sciences, Second Edition, terbitan National Academy of Sciences tahun 1999.

Dalam kes Kitzmiller lawan Dover Area School District pada tahun 2005 (Case No. 04cv2688. December 20, 2005), sebuah mahkamah persekutuan di Amerika memutuskan mana-mana sekolah yang mengajar sains dan mengaitkan kejadian kehidupan dengan kuasa ghaib dan mengetepikan teori evolusi, ia dianggap telah melanggar perlembagaan Amerika.

Matlamat dan Metodologi Sains

Dalam Islam, sains mempunyai matlamatnya. Matlamat jangka pendek ialah mengenali hakikat kejadian alam serta manusia dan memanfaatkan ilmu itu untuk kebaikan semua. Sebagai contoh, melalui sains kita mengetahui bahawa seks kromosom lelaki menentukan kejantinaan seseorang bayi, kejadian bayi bermula dengan persenyawaan antara sperma lelaki dan ovum wanita, kejadian bumi berlaku selepas kejadian bintang-bintang di langit dan yang seumpamanya. Namun akhirnya yang menjadi keutamaan ialah matlamat jangka panjang iaitu mengagungkan dan membesarkan Allah. Hal ini terserlah dalam surah al-Mukminun ayat 14 yang bermaksud,

"Kemudian Kami menjadikan benih nuthfah itu alaqah. Kemudian daripada alaqah Kami jadikan mudghah. Kemudian daripada mudghah Kami jadikan tulang dan Kami tutup tulang itu dengan daging. Kemudian Kami jadikannya makhluk berbentuk lain. Maha suci Allah, sebaik-baik Pencipta."

Perhatikanlah ayat ini dengan baik. Selepas Allah menceritakan fasa-fasa kejadian bayi (dan hal ini dapat disahkan oleh sains), Allah mengakhiri ayat itu dengan ungkapan, "Maha suci Allah, sebaik-baik Pencipta." Inilah matlamat asasi sains, iaitu untuk mengagungkan Allah.

Untuk mencapai matlamat ini metodologi yang digunakan perlulah betul. Sains berkonsepkan tauhid melahirkan metodologi atau pendekatan yang mengambil kira syariat. Kepatuhan kepada syariat tidak menghalang kreativiti dan inovasi kerana kebebasan untuk mengkaji telah pun diberikan Islam berdasarkan sabda nabi yang bermaksud, "Kamu lebih tahu tentang urusan duniamu." Yang dituntut ialah kepatuhan kepada prinsip-prinsip syariat yang akan mencantikkan sains. Sebagai contoh syariat mengutamakan nyawa manusia. Justeru kajian sains dan teknologi yang terhasil daripadanya tidak boleh digunakan untuk memusnahkan nyawa. Syariat juga melarang kemudaratan dilakukan berdasarkan sabda nabi yang bermaksud,

"Tidak boleh melakukan kemudaratan dan tidak boleh membalas dengan kemudaratan." Hadis ini diriwayatkan oleh Imam Malik, Al-Hakim, Baihaqi dan Ibn Majah.

Islam juga menekankan tentang akhlak. Antara akhlak yang wajib dihayati ialah sikap bertanggungjawab ataupun amanah. Amanah ini melibatkan individu, alam sekitar dan masyarakat secara amnya. Lihatlah apa yang berlaku pada hari ini apabila sains dan teknologi terbabas daripada nilai-nilai amanah dan agama. Sebagai contoh, bidang bioteknologi telah melahirkan satu konsep baru yang dikenali sebagai kejuruteraan genetik (genetic engineering). Teknologi ini mampu memindahkan bahan genetik yang bernama DNA dari satu spesies ke spesies yang lain. Walau bagaimanapun untuk berjaya, proses ini memerlukan bantuan virus tertentu agar DNA daripada spesies yang berbeza dapat mengenali antara satu sama lain. Penggunaan kuman-kuman virus ini akhirnya menyebabkan kelahiran pelbagai kuman serta penyakit baru yang mampu membunuh manusia. Mengikut Dr Mae-Wan Ho, pengarah Bioelectrodynamics Laboratory di Open University, United Kingdom, kejuruteraan genetik telah menyebabkan wabak kolera menyerang India pada tahun 1992, wabak kuman streptococcus di Tayside pada tahun 1993 dan wabak kuman E. Coli 157 di Scotland.

Justeru, kepatuhan kepada syariat adalah penting agar sains tidak terbabas daripada landasan kebenaran dan kesejahteraan.

* Dr.Danial Zainal Abidin merupakan seorang pengurus dan pengamal perubatan di klinik Syifa' Gelugor, Pulau Pinang. Beliau juga adalah pengarah urusan kepada Syarikat Danial Zainal Consultancy. Di samping itu beliau juga merupakan seorang pakar motivasi undangan di radio,penceramah dan penulis buku yang berkaitan Islam dan Sains.

Seorang Guru yg Perlu Mengajar Pelajar Luar Bandar


"Hah...Mama dah carikan kerja untuk hang. Jadi cikgu kat sekolah kawan Mama. Mau?" kata mak aku semasa kami dalam kereta, pulang ke Kedah dari KMB setelah aku tamat belajar di situ sekitar 2004.

Aku memandang kosong ke luar tingkap kereta. Warna merah senja masih lagi di situ, belum pudar. Cantik!"Ma...malaih lah. Kalau boleh oghang nak gheja macam Tu'ai, jadi maintainer kat kelab bowling kat City Plaza tu. Best sket." aku menjawab malas sambil mataku menjeling kepada Tu'ai, adikku di sebelah. Fikirku, bolehlah kami keluar petang ke tempat kerja dan balik awal pagi. Sambil-sambil tu bolehlah merewang ke tengah-tengah bandar Alor Setar sebelum balik ke rumah. Bila lagi?

"Hang jangan nak menggatai. Mama dah habaq dah kat Cikgu Cek Puteh. Esok lusa hang pi daftaq kat sekolah tu." mak aku membantah."Laa...ingatkan nak bagi option tadi. Rupa-rupanya arahan mandatory." cetus hati aku.

Merah senja di luar tingkap makin pudar. Lebuh raya PLUS nampak kosong. Seperti fikiran aku yang kosong."Apa aku nak buat kat sekolah tu nanti? Dah la kena mengajaq Bahasa Inggeris. Tingkatan 4 ngan 5 plak tu. Sastera lagi. Mampoih." Hati aku terus merungut tak puas hati. Tapi apa boleh buat, arahan mandatori...Habis takat tu...

Bermula episod diri aku diberi peluang mengenali sendiri apakah erti perjuangan memartabatkan anak bangsa dari kaca mata seorang guru, yang dikerah mendidik pelajar luar bandar (kalau boleh aku katakan, sekolah yang aku pergi ini adalah sekolah yang lagi luar daripada ‘luar bandar'. Maknanya sangat- sangat terpencil).

Aku menjadi cikgu ganti, menggantikan seorang guru lain yang cuti bersalin. Dan sekali sekala aku masuk ke kelas-kelas tingkatan yang lain, menjenguk apa yang pelajar-pelajar di sana sedang buat sewaktu ketiadaan guru.Biar aku ceritakan...



Adegan 1:


Biasalah, sesi perkenalan menjadi modal utama untuk cikgu baru macam aku untuk ‘skip' hari pertama daripada kena mengajar. Ni yang berlaku di sebuah kelas tingkatan 5 Sains 1.

" Ok class, My name is Haikal. Your new English teacher here, for 2 months bla..bla..bla."

"Now I would like to know each of you before I begin my lesson. Please state your name, ambition and where are you from. Ok, let us start from you."

" Err...sir. Saya tak pandai cakap Inglis. Bahasa Melayu boleh dak?"

Aku jawab : " Cuba, takpa salah pun. saya pun bukan pandai cakap omputih."

" I is Syahrul (nama rekaan). Yang lain saya tak gheti sir."

"Ok takpa...teruskan. Saya tanya tadi cita-cita dan tinggai kat mana."Dalam hati : "Mampoih, macam mana aku nak mengajaq dalam BI ni? Kalau kelas 5 sains 1 pun tak berapa gheti BI?"



Adegan 2:


Ada satu hari tu, aku kena masuk ke kelas tingkatan satu. Cikgu yang sepatutnya berada dalam kelas tu tak datang. Sekali lagi, sesi berkenalan, sebab aku memang tak disuruh mengajarpun.

"Nama saya cikgu Haikal. Saya masuk mai ganti cikgu Sharifah. Saja nak berkenalan dengan kamu semua. Soghang-soghang bangun dan habaq nama dengan cita-cita. Hah kamu...mula!"

"Nama saya Rosdi. Cita-cita nak jadi..emm...perbaik gheta. Pak saya ada kedai pomen gheta kat pekan."

"OK takpa, kamu!" aku menuding pada seorang pelajar yang berdiri kat pintu, gaya macam nak lari keluar dari kelas.

"Saya...nama Ku Nazim. Cita-citaku nak jaga lemu pak ku" Memang disebut LEMU, bukan lembu. Jawab Nazim serius dalam loghat Kedah hulu yang pekat. Lembu pun kedengaran lemu. Saya diganti dengan ku...bahasa diri kebiasaan bagi orang-orang kampung kat tempat aku.

"Sebab apa nak jaga lembu?""Ku tak tau dey. Pak ku banyak Lemu. Dia pun dok sughuh ku jaga lemu dia."

" Oo...ya ka?" aku menyetujui kata-katanya

Dalam hati : "Bertuah betul orang bandar. Anak-anak semuanya bercita-cita tinggi. Nak jadi doktor, saintis. Paling komanpun polis. Tapi kat sini. Cukuplah kalau boleh warisi apa yang bapak depa ada. Mungkin depa ni masih naif...tapi kalau dibandingkan dengan anak bandar yang sebaya, depa ni jauh naif. Seolah-olah tiada langsung cita-cita."

Dan memang benar, pelajar-pelajar di sini memang datang ke sekolah bukan kerana ingin belajar. Tetapi kerana ingin berjumpa kawan-kawan. Itu sahaja dorongan mereka untuk terus berada di sekolah dari jam 7.30 pagi hingga jam 2 petang. Dan peluang daripada kedatangan mereka ke sekolah itulah yang digunakan oleh guru-guru untuk menumpahkan ilmu yang sedikit buat bekalan anak bangsa ini.Lalu...bagaimana ingin mempunyai cita-cita?



Adegan 3:


Aku diberi amanah untuk menanda kertas peperiksaan Bahasa Inggeris dan English in Science and Technology (EST) - Tingkatan 4 dan 5.Untuk Tingkatan 4...semua gagal (fail) untuk 2 mata pelajaran yang aku tandakan tu.Untuk Tingkatan 5...ada seorang dua sahaja yang lulus ataih pagaq EST. Untuk Bahasa Inggeris, ramai jugak yang lulus tetapi sekadar lulus. Tak lebih dari itu. Itu pun...aku kena jadi seorang pemeriksa yang sangat bermurah hati.

Bila ditanya kepada guru-guru lain tentang perkara itu : "Hah...besa la tu. Budak-budak sini bukan gheti BI. Lepa (Depa/mereka) bukan maupun belajaq BI. Sabit tu (sebab tu) kalau hang tengok budak-budak yang ambik Sains dengan Math dalam BI kat sekolah ni semua tak luluih. Habuk pun takdak." Kata seorang cikgu lelaki, sambil menghisap rokok daun yang digulung sendiri, sewaktu kami bersembang di kantin.

"Kalau dulu, waktu dua-dua subjek ni lepa ajaq dalam BM pun student tak pandai. Ni pulak nak mengajaq dalam BI. Punah anak bangsa hang tau dak Haikal. Lepa ni orang kampung. Satu hapa pun depa tak gheti. Lagi nak suruh belajaq dalam BI. Apa punya otak pun aku tak tau." Sambung cikgu itu dalam nada kesal bercampur geram. Ada juak-juak meluat di mukanya.

"PUNAH ANAK BANGSA" terngiang lagi perkataan tu dalam fikiran aku sampai sekarang.



Adegan 4:


Satu hari tu, aku masuk mengajaq BI kat dalam kelas tingkatan 4 Perdagangan. Ada 4 orang pelajar lelaki sewaktu aku sedang mengajar di depan, depa dok berkumpul 4 orang dalam satu bulatan kat belakang.

"Tu kat belakang, hangpa tengah buat apa tu?" Aku dah tak cakap Inggeris lagi dah dalam kelas (Pelik kan? Mengajar Bahasa Inggeris dalam Bahasa Melayu. Tapi apa boleh buat... payah...susah. Kesian dengan mereka yang tak faham apa-apa).Ada budak lain yang tolong jawabkan soalan aku tu, tapi dalam keadaan yang separuh berbisik:

"Depa tengah main Sing-Kong Sir."

"Menatang apa tu?" aku bertanya kehairanan.

"Judi!" (Sing-kong: lambung duit syiling, pastu pakat-pakat teka kepala ka ekoq. Sapa betoi dia dapat duit syiling tu)

"Budak-budak kat belakang! Baik hangpa berenti sebelum saya panggil PK HEM. Kalau tak mau belajaq, Hangpa dok diam-diam kat belakang. Tidoq!" Tegas aku dalam nada separuh bengang.

"Ok sir." Jawab seorang dari mereka dalam keadaan senyum. Aku hanya mampu geleng kepala dan teruskan pengajaran "Mari Mengenal Bahasa Inggeris"

"Ok kelas...kalau I...padan dengan Am"

"I am"

"Kalau he atau she yang maksudnya Dia...padan dengan Is"

"He is"

Itu antara situasi-situasi yang berlaku di luar bandar. Ops...di luar lagi daripada luar bandar. Sekolah tempat aku mengajar tu, ada antaranya pelajar Siam. Memang di utara Kedah ramai orang Siam dan anak-anak mereka ini dihantar ke sekolah-sekolah kerajaan, macam juga orang melayu.






MAHALNYA PERKAHWINAN BILA ADA KETENANGAN




“Mahalnya sebuah perkahwinan adalah pada qurratu a’yun iaitu hadirnya pasangan dan anak-anak yang menyejukkan pandangan mata hingga lahirnya ketenangan. Ketenangan ini yang paling mahal. Sebab itu dikatakan "rumahku syurgaku", kata perunding motivasi Dr. Shafie Md Amin al-Hafiz.

Ketenangan memang dicari-cari oleh manusia. Bagi seorang lelaki misalnya, apabila hendak mendirikan rumah tangga, fitrah hatinya inginkan seorang wanita yang solehah sebagai teman hidup kerana, menurut Dr. Shafie, “wanita solehahlah yang dapat melahirkan ketenangan dalam rumah tangga. ”

Isteri yang solehah, ujarnya, akan menjana aktiviti amal soleh di dalam rumah tangga yang menjadi saluran Allah datangkan ketenangan atau kehidupan yang baik.
Firman Allah: “Siapa yang mengerjakan amal soleh, baik lelaki atau perempuan dalam keadaan beriman, maka sesungguhnya akan Kami berikan kepadanya kehidupan yang baik…”
(An-Nahl: 97)

Isteri yang solehah juga menyejukkan pandangan mata, sekaligus menenangkan jiwa.
“Dalam berumah tangga, kita hendakkan kehidupan yang lapang dan tenang. Tapi kenapa rumah tangga jadi sempit?” soal Dr. Shafie, pengasas Kaedah Al-Huffaz, teknik mudah menghafaz al-Quran.

Beliau berkata, sempitnya rumah tangga disebabkan kita tidak ikut formula yang Allah beri dalam mengatur kehidupan. “Dalam memberi ketenangan, Allah tidak beri begitu saja. Ada formula, ada peraturannya,” ungkapnya dalam pertemuan di pejabatnya di Taman Nirwana, Ampang, Selangor.

Jelas Dr. Shafie, secara umumnya hati akan tenang bila ingat Allah. “Ketahuilah, dengan mengingati Allah hati menjadi tenang,” demikian maksud firman-Nya (Ar-Ra’d: 28). Di dalam solat, kita memohon melalui bacaan al-Fatihah, “Tunjukilah kami jalan yang lurus (iaitu) jalan orang-orang yang telah Engkau anugerahkan nikmat …”.

Nikmat adalah sesuatu yang setiap orang suka dan ia boleh menenangkan hati atau memberi kebahagiaan. “Tetapi dalam realiti,” terang Dr. Shafie, “orang hanya melihat nikmat itu ada pada harta, isteri, anak-anak.”

“Ada yang banyak harta, banyak anak tapi tak bahagia. Kalau semua yang kita miliki itu dapat mendorong kita melakukan amal soleh, barulah ia menjadi sumber kebaikan (dan ketenangan),” jelasnya, merujuk pada amal kebaikan yang dilakukan dalam keadaan beriman iaitu yakin kepada Allah dan ganjaran di akhirat.

Allah menjelaskan, “Dan siapa yang berpaling dari peringatan-Ku, sesungguhnya baginya kehidupan yang sempit.” (Thaha: 124)

Oleh itu, kehidupan yang sempit selepas kahwin adalah natijah dari tidak mengikut aturan Allah dalam mengatur rumah tangga, termasuklah seawal memilih jodoh lagi. “Kadang-kadang sudah bagus dalam memilih pasangan tapi di hari perkahwinan banyak unsur-unsur negatif yang boleh memberi efek kepada perkahwinan,” katanya, memberi contoh amalan bersanding, unsur muzik dalam majlis walimah, mahar yang menyusahkan dan sebagainya.

Dr. Shafie berkata, “Mesti balik kepada formula yang digariskan oleh agama. Kalau tidak, kita akan membinasakan diri kita.” Katanya, rumah tangga yang baik tidak akan lahir jika agama hanya diletakkan sebagai satu segmen kecil dalam kehidupan. Sedangkan, menurutnya, agama Islam itu ad-deen – formula kehidupan.

“Melalui agama, semua formula kehidupan Allah sudah ajar kepada kita,” katanya. “Dalam kehidupan ini setiap sesuatu ada formulanya,” tambahnya, dengan memberi contoh perlunya kita ikut resipi jika hendak buat kuih.

Katanya, Allah telah memberi formula melalui sabda Nabi-Nya, kalau berkehendakkan kehidupan yang baik, rumah tangga yang balik, pilihlah calon pasangan yang beragama. “Manusia memang sukakan kecantikan, tapi asas pemilihan nombor satu mesti agamanya. Agama itu mencetuskan ketenangan,” katanya.

Dr. Shafie berkata, jika formula dari Allah ini dituruti dalam mendirikan rumah tangga bermula dari pemilihan jodoh lagi, dari situlah tercetusnya ketenangan yang akan menjadikan mahalnya sebuah perkahwinan.

"Aku menyintaimu kerana agama yang ada padamu, jika kau hilangkan agama dalam dirimu, hilanglah cintaku padamu" (Imam Nawawi)


Promosi EMI

Assalamu'alaikum WarahmatuLlahi Wabarakaatuh!

Jom ramai-ramai ke
EKSPLORASI MENARA ILMU (EMI) 2009
julung-julung kalinya diadakan untuk
LEPASAN SPM/STPM 2008
pada
21-22 Mac 2009
di
MASJID TAN SRI AINUDDIN WAHID, TAMAN UNIVERSITI
dengan bayaran
RM 30 sahaja!
anjuran
KELAB REMAJA JIM (KRJ) JOHOR
PERSATUAN ALUMNI SEKOLAH ISLAM HIDAYAH (PALS)
MASJID TAN SRI AINUDDIN WAHID

Adakah anda di kalangan lepasan SPM/STPM 2008?
Atau mungkin anak-anak anda?
Atau mungkin saudara mara anda?
Atau mungkin jiran tetangga anda?
Atau mungkin sahabat anda?
Atau mungkin anak usrah anda?
Atau mungkin........Sesiapa sahaja!

Daftarkan diri anda/anak anda/saudara mara anda/jiran tetangga anda/anak usrah anda/sahabat anda atau sesiapa sahaja yang seharusnya mengikuti EMI ke program
EKSPLORASI MENARA ILMU 2009
melalui

(i) reply ke email ini personally (bynt3d[at]gmail[dot]com) dengan tajuk: Daftar EMI

(ii) SMS ke +013-7140671 ('Abidah Ali) atau +013-3561853 (Nur Sakinah)

(iii) Respon di Blog KRJ di bahagian iklan EMI

(iv) Jika anda mendapat brochure EMI, potong bahagian pendaftaran, isi dan poskan ke alamat yang tertera!

***Untuk SMS, hantarkan kepada urusetia EMI:DAFTAR EMI

Mudah je kan!
Apalagi..Daftar sekarang!!
Penyertaan hanya dibuka untuk 100 insan bertuah sahaja!
Dengarkan bagaimana untuk menjadi
PELAJAR MUSLIM YANG CEMERLANG DALAM AKADEMIK, SAHSIAH, KOKURIKULUM
BELAJAR MACAMANA NAK DAPAT CGPA MANTOP, KIRA-KIRA POINTER DI IPT
PERKONGSIAN PELAJAR IPT, LEPASAN IPT, PENSYARAH IPT TERKEMUKA TENTANG LIFE@IPT
KEPENTINGAN ISLAM DALAM HIDUP PELAJAR DI IPT
dan pelbagai aktiviti menarik untuk anda!!

Kami dah war-warkan.
Kami dah iklankan.
Sekarang, terserah kepada anda.
Kami menanti pendaftaran anda!
Jumpa di sana, insya'Allah!

MSSD OLAHRAGA..

Salam semua...alhamdulillah bersyukur ke hadrat dgn limpah kurnianya dpt lg ana menghirup udara segar dimana bila2 mase saja ALLAH akan menarik nikmat itu. Selain itu, ana masih dlm dua nikmat paling besar bg seorg muslim iaitu IMAN & ISLAM.

Alhamdulillah, ana nk cerita tentang pertandingan Olahraga peringkat MSSD. Kami (ana, adam,saifullah,mursyid,miqdad,shidad & shahril) bertolak dr sekolah dalam pukul 7:30 pagi. Setelah sampai kami menunggu giliran Saifullah & Shidad utk bertanding dalam acara Rejam Lembing. Setelah lama menunggu akhirnya habis juga acara mereka. Alhamdulillah Shidad dapat no 4.

Dalam masa yang sama, Mursyid & Miqdad bertanding dalam acara Melempar Cakera. Selepas melempar, mereka datang ke tmpt kami & bagi tahu tentang keputusannya. Miqdad telah mendapat no 4 juga.

Pada sebelah petang pula, ana & Ammar telah bertanding dalam acara Melempar Cakera, dalam masa yang sama juga, Adam & Shahril bertanding dalam acara merejam lembing. Sebelum bertanding ada rasa takut sikit kat dalam hati ni. Takut kalah ade & bermacam2 lagi. Ust kata, "kalau hari ni x dapat bawa balik satu medal kene balik jalan kaki". So, teringat je cakap ust, ana kembali bersemangat untuk menang. Balingan pertama ana, ana wat 26.54 meter je. Tapi x pe, sbb ana dalam ranking ketiga dari 32 peserta masa tu. Dalam pertandingan yang ana masuk ni, ana kedua paling kecik lepas Ammar. Lepas lempar sebanyak 3 kali, ana telah masuk ke final dimana 8 org yang terbaik je yg dipilih ke final. Setelah melempar sebanyak 3 kali, alhamdulillah ana mendapat keputusan yang agak memberangsangkan.

Johan acara ni ialah Frederick Gerald dari SAB.
Naib Johan pula ialah Muhd Hamirul (bagong) dari SMIE
Ketiga pula ialah Irfan b Masiri dari SMIH

Setelah di umumkan nama pemenang ana bergambar dengan pemenang. Alhamdulillah ana bertolak balik pada pukul 5:30 ptg.

Ana rasa tu je la cite yg mampu ana ceritakan, semoga agama ISLAM akan tertegak kembali.... ASSALAMUALAIKUM...

SEMINGGU SEBELUM CUTI...

Salam semua...alhamdulillah bersyukur ke hadrat dgn limpah kurnianya dpt lg ana menghirup udara segar dimana bila2 mase saja ALLAH akan menarik nikmat itu. Selain itu, ana masih dlm dua nikmat paling besar bg seorg muslim iaitu IMAN & ISLAM.

InsyaAllah ana nk bercerita skit mengenai seminggu hari persekolahan sblm cuti....

SELASA
Alhamdulillah pd hari selasa sekolah telah mengadakan hari KRS SMIH bg menghabiskan mase kokurikulum. Antara aktiviti yg dijalankan ialah Explorace bg menengah atas & Memasak dlm buluh ngan Gajet bg menengag rendah. Ana tlh ditugaskan utk menjaga checkpiont bg explorace. Ana tlh bergandingan Zubayr Aizaini. Checkpoint ana senang je, diorg kene push up 20 kali, sit up 10 kali & lompat bintang 25 kali. Diorg kene wat cmtu dlm mase seminit. Selepas explorace ade base, tp skit je kumpulan yg buat. Menengah rendah lak ade pertandingan kawad kaki. Program ni habis dlm pukul 4:00 ptg.

RABU
Pada hari rabu pelajar tingkatan 5 ade yg mengambil periksa PA, EST, & BI. Selain tu ade juga pelajar tahfiz yg menyertai pertandingan Hafazan. Ana amik periksa BI dlm pukul 10:20-12:35 tengah hari & ana amik periksa PA dlm pukul 3:00-3:55 ptg. Selepas habis periksa pelajar tingkatan 5 & 3 kemas dewan Khandak sebab esok nya ada kem motivasi.

Khamis
Pada hari khamis pelajar tingkatan 5 & 3 serta sbhgn pelajar tingkatan 4 tlh menyertai kem motivasi yg tlh disampaikan oleh Dr Shukri Abdullah. Ana sgt suke cara beliau menyampaikan cara2 bg mengatasi masalah belajar. Beliau juga tlh selitkan beberapa video ketika menyampaikan motivasi supaya pelajar tidak mengantok ketika mendengar. Ada satu bende yg menyebabkan pelajar2 ni tidak akan tidur ialah beliau akan menembak pelajar yg tidur, yg berbual & tidak beri tumpuan dengan menggunakan PISTOL AIR. Kalau dengar macam kelakar, tp itulah realitinya. Alhamdulillah program ni habis pada pukul 4:30 ptg. Pada pukul 5:00 under 18 telah menjalani latihan bg menyertai pertandingan Bola Sepak peringkat MSSD.

JUMAAT
Pada hari jumaat pelajar tingkatan 5 ada Kursus Kerjaya di UTM. Pelajar lain ade program lain iaitu Maulidur Rasul. Sedih juga la tidak dapat pergi program tu. Tapi redha sajalah, mungkin ada hikmah di sebalik kejadian ni. Di UTM, kami telah diterangkan bagaimana utk mengenali diri sendiri, kerjaya apa yg patut dipilih nanti & dimana tahap stress kita. Pada pukul 12:30 kami dibenarkan utk makan & bersiap utk solat Jumaat. Selepas solat Jumaat, kami telah di bawa ke pameran kerjaya. Setelah sampai, kami pon masuk, tetapi dah x ade apa2 pon sebab dh banyak counter tentang kerjaya sedah kemas sebab nak balik. Lepas tu kami di bawa ke Perpustakaan Zanariah. Di sana ana telah menonton satu movie, tp ana x tau apa tajuk dia. Lepas habis menonton movie tu kami bertolak balik. Ada yang balik rumah & ade yang balim sekolah.

Ana rasa tu je la cite yg mampu ana ceritakan, semoga agama ISLAM akan tertegak kembali.... ASSALAMUALAIKUM...

MULIANYA HATI SEORANG ANAK





Lapang benar dada Pak Uwei bila pegawai yang bertugas di kaunter Pejabat Tabung Haji itu memberitahu nama dia dan isterinya turut tersenarai dalam senarai jemaah yang akan menunaikan ibadah fardhu haji pada tahun ini.

“Tapi pak cik kena bayar segera bahagian mak cik yang masih tak cukup tiga ribu ringgit lagi tu. Selewat-lewatnya minggu depan bayaran mesti dibuat,” beritahu pegawai itu lagi. “Insya’Allah encik. Saya akan bayar seberapa segera,” janji Pak Uwei. Berita gembira itu ingin segera dikongsi bersama isteri kesayangannya. Sebaik keluar dari pejabat Tabung Haji, dia terus balik ke rumah.

“Pah….. Ooo….. Pah!” teriak Pak Uwei sebaik turun dari keretanya.

“Apa bendanya terlolong-lolong ni bang?” tanya Mak Pah.

“Ada berita baik ni Pah, nampaknya hajat kita nak ke Mekah tahun ni akan tertunai. Insya’Allah, dua bulan lagi kita akan ke sana. Tak sabar betul saya, rasa macam Kaabah tu dah melambai-lambai,”
cerita Pak Uwei dengan wajah berseri-seri.

“Betul ke ni bang? Baru semalam si Johari beritahu dia dengan Minah tak dapat pergi. Namanya tidak ada dalam senarai.”

“Betullah Pah oii…….. saya ni baru je balik dari Pejabat Tabung Haji. Cuma duit bahagian awak tu kena bayar segera selewat-lewatnya minggu depan.”

“Mana kita nak cari duit banyak tu bang? Tiga ribu tu bukan sikit, itupun lepas duit tambang. Duit kocek mau juga sekurang-kurangnya dalam seribu.” Mak Pah merenung gusar wajah suaminya.

“Alah Pah, kita mintalah tolong dengan Muaz dan Balkis. Takkanlah mereka tak nak beri. Bukannya banyak, cuma dua ribu seorang saja.”

Wajah Pak Uwei semakin berseri-seri. Dia yakin anak-anaknya yang dua orang itu tidak akan menghampakan harapannya.

“Lusa hari minggu, saya nak suruh budak-budak tu balik, boleh kita berunding,” cadang Pak Uwei.

“Kalau tak cukup bahagian saya tu, awak ajelah yang pergi dulu. Tak elok kita menyusahkan anak-anak bang, lagipun apa pula kata menantu kita nanti, nak ke Mekah minta duit anak-anak.” Mak Pah tidak bersetuju dengan rancangan Pak Uwei.

“Pah…. Muaz dan Balkis tu kan anak-anak kita. Kita dah besarkan mereka, hantar belajar tinggi-tinggi takkan nak hulur dua ribu pun tak boleh, lagipun selama ni kita tak pernah minta duit mereka. Tak usahlah awak bimbang Pah, saya yakin anak-anak kita tu tak akan menghampakan kita kali ni.” Yakin benar Pak Uwei, harapan yang menggunung digantungkan kepada anaknya.

“Tapi bang………..”

“Dahlah…… pegi siapkan kerja awak tu, tak usah nak risau tak tentu hala. Saya nak telefon budak-budak tu,”

pintas Pak Uwei sebelum Mak Pah melahirkan kebimbangannya. Lega hati Pak Uwei bila Muaz menyatakan yang dia akan pulang, kemudian Pak Uwei menelefon Balkis pula di pejabatnya. Dia hanya menyuruh mereka balik tanpa memberitahu hajatnya.

“Insya’Allah, Kis balik nanti Abah. Ermm! Abah nak Kis suruh Intan balik sama?” tanya Balkis.

“Ikut suka kaulah, bagi Abah yang pentingnya kau dan Muaz. Intan tu ada ke tidak ke, sama aje. Balik ya….,” balas Pak Uwei.

Bukan dia membeza-bezakan anak-anaknya, tapi hati tuanya cepat benar panas bila berhadapan denga Intan. Sikap degil dan tak mahu mendengar kata anaknya itu menyebabkan dia geram. Sudahlah malas belajar, tidak seperti Muaz dan Balkis yang berjaya memiliki ijazah. Kalau ditegur sepatah, sepuluh patah tidak menjawab. Masih Pak Uwei ingat gara-gara sikap keras kepala Intan untuk bekerja kilang, mereka bertengkar besar tiga tahun lalu. Kini hubungan mereka seperti orang asing.

“Abah tak setuju kau nak kerja kilang kat KL tu. Abah mahu kau sambung belajar lagi.” Pak Uwei tidak bersetuju dengan niat Intan yang hendak bekerja kilang.

“Intan dah tak minat nak belajar lagi abah, biarlah Intan kerja kilang. Kerja kilang pun bukannya haram.” Bantah Intan menaikkan darah Pak Uwei.

“Aku suruh kau belajar kau tak nak, kau nak kerja kilang. Kau tak tengok berapa ramai anak gadis yang rosak akhlak kerja kilang duk kat KL jauh dari mak bapak, bolehlah buat apa yang kau sukakan. Kau nak bebas macam tu?”

“Itulah Abah, selalu nampak yang buruk aje. Bukan semua yang kerja kilang duk kat KL tu jahat Abah. Kerja apa dan kat mana pun sama aje, pokok pangkalnya hati. Kalau nak buat jahat dalam rumah pun boleh Abah.” Intan cuba membuat Abahnya faham.

“Kenapalah kau seorang ni lain benar dari abang dan kakak kau. Cuba kau tengok Balkis tu, tak pernah dia membantah cakap macam kau ni!”

“Intan memang tak sama dengan Kak Balkis, Abah. Intan suka berterus-terang, kalau tak kena Intan cakap depan-depan, bukan membebel kat belakang,” balas Intan selamba menyemarakkan bara dalam dada Abahnya.

“Anak tak mendengar kata, ikut suka kaulah. Kalau kau nak pergi, pergi….. aku dah tak larat nak larang. Nak terlentang ke, telangkup ke, gasak kaulah.”

“Kau buat apa yang kau suka, aku tak nak ambil tahu lagi!” Sejak kejadian itu, Pak Uwei memang tidak mempedulikan langsung apa yang Intan nak buat. Namun begitu, Intan tetap pulang setiap kali cuti. Dia bersikap selamba biarpun abahnya tidak mempedulikannya.

Intan selalu menghulur duit, tapi hanya kepada maknya sahaja. Riang hati Pak Uwei bukan kepalang bila anak-anaknya pulang, tambahan pula dia sudah rindu dengan cucu-cucunya. Malam itu, selesai menikmati makan malam dan berjemaah sembahyang Isyak, mereka duduk berborak di ruang tamu.

“Sebenarnya ayah suruh kau orang balik ni ada hajat sikit,” Pak Uwei memulakan bicara.

“Hajat apa pula Abah?” tanya Muaz yang duduk di sebelahnya.

“Abah dan Mak kau nak ke Mekah, nama dah ada dalam senarai. Memandangkan bahagian Mak kau masih belum cukup lagi, abah nak minta kau dan Balkis bantu sikit. Tak banyak, dua ribu seorang cukuplah,” Pak Uwei mengutarakan hasratnya.

“Boleh tu boleh Abah, tapi kena tunggu sebulan dua lagi. Az baru je keluarkan wang simpanan buat duit muka beli rumah. Sebulan dua lagi bolehlah Az ikhtiarkan,” ujar Muaz.

“Tapi…… Pegawai Tabung Haji tu minta bayaran dibuat segera selewat-lewatnya minggu depan.”

“Kalau dalam seminggu dua ni Abah, memang rasanya tak dapat. Paling tidak pun cukup bulan ni. Nak cukupkan duit muka tu pun habis duit simpanan budak-budak ni Az keluarkan,” jawab Muaz serba salah.

“Kau beli rumah lagi, rumah yang ada tu kau nak buat apa?” tanya Pak Uwei melindungi kekecewaannya.

“Rumah baru tu besar sikit Abah. Selesalah buat kami sebab budak-budak tu pun dah besar, masing-masing nak bilik sendiri. Lagipun beli rumah tak rugi Abah, pelaburan masa depan juga,” sampuk Mira isteri Muaz.

Pak Uwei terdiam, harapannya kini cuma pada Balkis. “Kamu macam mana Kis, boleh tolong Abah? Nanti Abah bayarlah balik duit kamu tu bila ada rezeki berbuah durian kat dusun kita tu nanti,” Pak Uwei berpaling pada Balkis.

“Kis pun rasanya tak dapat nak tolong Abah. Kis baru aje keluarkan duit simpanan buat menambah modal perniagaan Abang Man. Tengah gawat ni faham ajelah…… ni tak lama lagi nak bersalin nak pakai duit lagi.” Hancur berderai rasa hati Pak Uwei mendengar jawapan Balkis.

“Man bukan tak nak tolong Abah. Kalau nak pinjam duit kad kredit boleh. Tapi yelah, kata orang kalau nak ke Mekah ni tak elok pakai duit pinjaman.”

“Betul kata Man tu Abah. Kalau nak ke Mekah mesti dengan kemampuan sendiri baru elok,” sokong Muaz. Kata-kata Azman dan Muaz bagaikan sembilu yang menikam dada Pak Uwei. Bila dia bertemu pandang dengan Intan, Pak Uwei terasa bagai ditertawakan oleh Intan bila kedua anak yang diharap-harapkan menghampakannya.

“Tak apalah kalau kau orang tak ada duit. Biarlah Abah kau pergi seorang dulu, nanti kalau ada rezeki, Mak pula pergi,” Mak Pah bersuara cuba meredakan keadaan.

“Kalau nak pergi sendiri dah lama saya pergi Pah. Tak payah saya tunggu lama-lama. Kalau Awak tak pergi, biarlah kita sama-sama tak pergi….. dah tak ada rezeki kita nak buat macam mana?” Pak Uwei bangun masuk ke bilik meninggalkan anak-anaknya dengan rasa kesal.

Intan tahu Abahnya benar-benar kecewa. Walaupun orang tua itu tidak menunjukkan rasa kecewanya, tapi Intan faham kecewa Abahnya teramat sangat kerana tidak menduga anak-anak yang selama ini disanjung akan mengecewakannya begitu.

“Anak awak tu tak balik ke?” tanya Pak Uwei pada Mak Pah bila Intan tidak turut serta balik bersama dengan abang dan kakaknya.

“Tak, katanya cuti sampai hari Rabu nanti,” balas Mak Pah sambil mencapai kain selendangnya.

“Nak ke mana pulak tu?” tanya Pak Uwei melihat Mak Pah bersiap-siap.

“Nak ke kedai Long Semah tu nak belikan anak saya kuih lepat ubi kegemarannya.” Sengaja Mak Pah menekan suara bila menyebutnya anaknya. Bukan sekali dua dia menegur sikap Pak Uwei yang gemar membeza-bezakan anak. Pagi Isnin itu selepas bersarapan, Intan bersiap-siap hendak keluar.

“Nak ke mana Intan pagi-pagi dah bersiap ni?”

“Intan ada hal sikit kat bandar mak. Intan pergi dulu ye.”

“Kalau nak ke bandar suruhlah Abah kau tu hantarkan,” suruh Mak Pah.

“Tak payah mak, Intan nak pergi banyak tempat ni. Nanti bising pula Abah tu. Intan pergi dulu.” Mak Pah menggeleng memerhatikan Intan berlalu. Kadangkala sedih hatinya melihat sikap suaminya yang keras hati membuat anaknya itu menyisihkan diri.

Ketika Intan pulang dari bandar tengah hari itu, mak dan abahnya sedang menikmati juadah tengah hari.

“Kau ni Tan buat benda apa lama benar kat bandar tu? Mari makan sama. Ni Abah kau ada beli ikan baung salai, mak masak lemak cili api.”

“Ingat lagi Abah lauk kegemaran Intan rupanya,” usik Intan tak bertangguh mencapai pinggan.

“Mak Bapak memang tak pernah lupakan anak-anak, cuma anak-anak aje yang lupakan mak bapak,” jawap Pak Uwei sinis. Intan tersenyum pahit. Selesai mengemas pinggan mangkuk, Intan menunaikan solat Zohor, kemudian dia mendapatkan mak dan abahnya yang sedang duduk di ruang tamu. Abahnya sedan membaca suratkhabar. Mak Pah pula melipat kain.

“Mak, Abah….. Intan ada hal sikit nak cakap ni….,” ujar Intan menghampiri mereka. Pak Uwei menurunkan suratkhabar yang dipegangnya., kemudian menanggalkan cermin mata yang digunakan untuk membaca.

“Apa hal….. kamu nak kahwin ke?” soal Pak Uwei merenung Intan. Tawa Intan meledak tiba-tiba mendengar soalan abahnya. Melihat Intan tergelak besar, Pak Uwei turut tertawa. Mak Pah pun tergelak sama, riang rasa hatinya melihat kemesraan yang hilang dulu mula menyatu.

“Abah ni…… ke situ pulak….”

“Habis tu?”

“Ini….. kad Tabung Haji Mak. Tadi Intan ambil dalam laci tu. Yang ini resit memasukkan duit ke akaun Mak. Semuanya Intan dah uruskan. Dan ini dua ribu untuk buat duit kocek Mak dan Abah. Yang dua ratus lagi ni untuk buat kenduri doa selamat sebelum berangkat nanti.” Intan memasukkan duit itu dalam genggaman Pak Uwei.

“Apa???” Pak Uwei terkejut. Matanya merenung Intan dan duit ditangannya bagai tidak percaya.

“Ini duit simpanan Intan sejak mula bekerja dulu. Duit hasil titik peluh Intan yang halal Abah, terimalah. Selama ini Intan banyak kali kecewakan Abah. Intan tak pernah dapat membahagiakan hati Abah. Selama ini pun Intan selalu sangat rasa kalah pada Abang Az dan Kak Balkis. Intan tak cantik dan baik macam Kak Balkis, apatah lagi bijak seperti mereka. Intan tahu Abah selalu kecewa dengan Intan. Hanya kali ini Intan dapat tunaikan hasrat Abah.”

“Dah banyak kali Abah tangguhkan hasrat nak naik haji. Dulu kerana Kak Balkis nak kahwin, lepas tu mak pulak tak sihat. Sekarang ni masa yang sesuai. Intan harap Abah sudi terima pemberian Intan,” tutur Intan perlahan memerhatikan air mata menuruni pipi abahnya yang sudah berkedut dimamah usia.

“Terima kasih Intan. Malu rasanya Abah nak ambil duit kamu…… dulu Abah selalu bangga dengan Balkis dan Muaz yang memegang jawatan tinggi, tapi akhirnya anak Abah yang kerja kilang yang membantu Abah,” luah Pak Uwei sambil mengesat air mata terharu atas keluhuran hati anak yang selama ini dimusuhinya.

“Sudahlah Abah. Yang lepas itu tak usahlah kita ungkit-ungkit lagi. Intan gembira Abah sudi terima pemberian Intan.”

“Pemberian kau ni terlalu terlerai bagi Abah dan Mak kau Intan….,” ujar Pak Uwei. Intan peluk abahnya erat.

“Hah……tulah, jangan suka memperkecil-kecilkan anak saya ni,” Mak Pah mengusik Pak Uwei sambil mengesat air mata penuh kesyukuran.

“Mak ni…..,” gelak Intan memandang abahnya yang tersengih. Masa yang ditunggu-tunggu tiba dalam keriuhan sanak saudara yang datang menziarahi Pak Uwei dan Mak Pah. Intan memerhati dengan perasaan gembira bercampur hiba.

“Semua dah siap ke Mak?” tanya Intan menjenguk ke bilik emaknya memerhatikan Mak Pah mengisi barang keperluan semasa di Mekah.

“Dah rasanya…… ada apa-apa yang Intan nak pesan Mak belikan di sana nanti?”

“Tak ada mak. Mak janganlah fikir soal apa yang nak dibeli Mak. Yang penting Mak dapat menunaikan ibadah dengan sempurna.”

“Hah! Awak dengan tu…. Kita ni nak pergi menunaikan ibadah, bukan nak membeli-belah,” tambah Pak Uwei yang turut mendengar perbualan dua beranak itu.

“Intan tak nak Mak dan Abah belikan satu apa pun dari sana. Hanya satu yang Intan mahu, doakan Intan bahagia di dunia dan akhirat,” pesan Intan sambil memeluk emaknya. Mak Pah dan Pak Uwei berpandangan. Tiba-tiba sebak dengan permintaan Intan itu.

Hanya dua jam lagi kapal terbang akan mendarat di tanah air. Pak Uwei mengerling Mak Pah yang lena di sebelahnya. Dalam keriangan telah menunaikan ibadah haji tanpa sebarang kesulitan, terselit rasa tidak sedap di hati. Perasaan rindu pada anak-anak terutamanya Intan bagai menyentap tangkai hatinya. Pak Uwei terkenangkan mimpinya bertemu Intan di Tanah Suci. Intan tidak berkata sepatah pun, tapi bagai memberitahu yang dia akan pergi jauh.

“Kenapa resah aje ni Bang?” Mak Pah terjaga.

“Entahlah Pah, saya teringat sangat dengan Intan dan anak-anak kita.”

“Sabarlah, dah nak sampai dah ni,” pujuk Mak Pah. Dari jauh lagi Pak Uwei sudah melihat Muaz dan Azman menanti mereka.

“Mak….. Abah…..,” Muaz meraih emaknya dalam pelukan dan kemudian abahnya tanpa dapat menahan air mata menitis laju.

“Mana yang lain ni, kamu berdua aje?” Pak Uwei tertinjau-tinjau mencari wajah Intan.

“Mereka menanti di rumah, Abah,” beritahu Azman suami Balkis sambil mencium tangan Pak Uwei.

“Intan pun tak datang juga ke?” tanya Pak Uwei terasa hampa.

“Awak ni….. kan Man dah kata mereka menunggu di rumah.” Mak Pah menggeleng, dua tiga hari ni nama Intan tak terlepas dari mulut suaminya. Perjalanan tiga jam dari KLIA untuk sampai ke rumah terasa begitu lama oleh Pak Uwei. Mak Pah yang melihat kegelisahan suaminya turut berasa bagai ada yang tak kena.

“Dua tiga malam sebelum balik, Abah kau mengigau terjerit-jerit dia panggil nama Intan. Kalau Intan dengar cerita ni tentu dia gelihati.” cerita Mak Pah pada Muaz dan Azman. Muaz mengerling Azman yang sedang memandu.

“Tentulah Abah ingatkan Intan, sebab Intan yang bagi dia duit,” balas Muaz cuba bergurau walaupun terasa sayu.

“Tapi Abah rasa macam ada yang tak kena aje Az, dalam mimpi Abah tu, Abah nampak Intan macam nak beritahu dia nak pergi jauh. Tapi dia tak bercakap pun, hanya renung Abah. Intan tak ada cakap apa-apa dengan kau Az?”

“Err….. tak ada Abah. Kita berhenti minum dulu Abah, tentu Mak haus,” ajak Azman.

“Tak payah, dah dekat ni. Abah tak sabar nak balik,” tolak Pak Uwei. Azman dan Muaz hanya berpandangan. Sebaik turun dari kereta, Balkis meluru memeluk mereka dengan tangisan. Suara Pak Long Basri yang bertakbir menambah sayu. Semua yang ada menitiskan air mata.

“Mak dengan Abah sihat ke?” tanya Mira setelah bersalaman dengan ibubapa mentuanya.

“Sihat, cuma batuk-batuk aje sikit. Intan mana, dia tak balik ke?” Mak Pah mula berdebar bila Intan tidak kelihatan.

“Naik dulu Ngahnya…….,” suruh Long Semah.

“Intan mana?” Pak Uwei mula hilang sabar bila tak seorang pun memberitahu di mana Intan. Pantas dia memanjat tangga menuju ke bilik Intan. Matanya terpaku pada bekas baru yang terletak di sebelah katil yang bercadar kain batik lepas. Dadanya bergetar.

“Az….. mana Intan? Mana adik kau Az?” tanya Pak Uwei dengan suara yang menggeletar. Badannya terasa lemah, dia berpaut pada tepi pintu.

“Sabar Abah….,” Muaz menggosok belakang abahnya.

“Kenapa Az…….. kenapa?” Mak Pah menurunkan Syazwan, cucunya dari pangkuan dan melangkah laju ke bilik Intan.

“Mak…. Intan dah tak ada Mak,” Balkis tersedu memeluk emaknya yang terduduk lemah. Pak Uwei terkulai tak bermaya menerima berita itu. Mak Pah terus pengsan. Bila dia terjaga dia melihat anak menantu menglilinginya. Pak Uwei duduk di tepi kepalanya.

“Sabarlah Ngah, ini dugaan Allah pada kita. Intan pergi pun dalam keadaan tenang. Barangkali kerana hajatnya nak lihat kamu naik haji dah tertunai,” pujuk Long Semah yang masih belum pulang.

“Intan ada tinggalkan surat untuk kita. Dia memang dah tahu dia tak akan hidup lama. Rupa-rupanya dia menghidap barah otak. Dia minta maaf segala salah silap dan berpesan supaya kita jangan sedih atas pemergiannya. Dia minta kita doakan dia,” Pak Uwei menepuk lembut bahu Mak Pah yang tersedu.

“Bila dia meninggal? Siapa yang mengadap masa nazaknya?” tanya Mak Pah.

“Kami semua ada Mak. Dia begitu tabah menanti detik kematiannya Mak. Sebenarnya dia ajak kami balik ini, katanya nak kemaskan rumah. Mak dan Abah nak balik. Masa sampai tu dia sihat lagi, tiba-tiba malam Khamis tu lepas solat Isyak dia sakit kepala teruk sampai tak boleh bangun. Az nak hantar ke hospital, tapi katanya masa dia dah tiba. Masa tulah baru dia ceritakan sakitnya. Dia meninggal Subuh hari Jumaat Mak…….. tiga hari lepas. Dia pergi dalam keadaan yang cukup tenang mak,” cerita Muaz. Mak Pah menggenggam erat tangan suaminya, terkenangkan bagaimana Intan memeluk erat mereka sebelum melepaskan pemergian mereka.

Dan ketika itu bagai terdengar-dengar suara Intan berpesan, “Intan tak nak Mak dan Abah belikan satu apa pun dari sana. Hanya satu yang Intan mahu, Mak dan Abah doakan Intan bahagia di dunia dan akhirat…..”

“Islam pada mulanya terasing, dan ia akan kembali terasing, maka berbahagialah kiranya bagi yang terasing”

Seorang Anak: Antara Realiti dan Rasionaliti Realiti




Sebagai anak wajib kita mentaati ibu bapa malah memenuhi segenap ruang keperluan mereka. Walau mereka tidak meminta tetapi cukup dengan bahasa isyarat yang lumrahnya orang tua ini mereka tidak akan secara verbal berkata mahu itu dan ini.

Lain pula halnya kita semasa kecil hingga kealam sebelum bekerja sendiri. Ada kemahuan sahaja terus diajukan, jika tidak dipenuhi dengan segera mengamuk, merajuk dan segala macam pemberontakan seolah tunjuk perasaan dilakukan.

Tanpa memikirkan apakah implikasi permintaan itu yang kadang-kadang menyebabkan mereka terpaksa meniriskan bajet belanjawan bulanan semata-mata untuk memenuhi kehendak seorang anak, itu jika seorang. Kalau 5 orang, 10 orang? Maka bayangkanlah!

Terkadang pula bukan mereka tidak mahu memenuhi permintaan itu tetapi hanya yang dipinta ialah tempoh masa, hujung bulan. Tetapi tidak juga mampu bersabar, terus menekan dan meminta, meraung malah tidak mahu bercakap dengan mencuka masam, hai anak..kenapa lakumu begitu?

Mungkin tidak faham akan situasi realitinya sebagai ibu bapa lagi. Nanti dia dah berumah tangga dan mempunyai anak sendiri, akan tahulah dia pahit maung membesarkan insan yang bernama anak itu.

Agama Islam mengajar kita ketaatan itu jika menurut turutannya maka ibu bapa terletak pada makam nombor 3 selepas Allah dan Rasulnya. Antara ibu dan bapa pula, diberatkan ibu itu dalam kiraan 3 kali ganda daripada bapa mengikut hadis baginda Rasulullah sendiri. “Maka janganlah kamu berkata walau dengan perkataan ‘uh’ (mengeluh)…..”

Rasional

Secara lumrah alam dan adab tertib kemanusiaan ditambah pula adab sunnah seorang Islam, maka berbakti dalam erti kata membalas jasa kedua ibu bapa adalah perkara yang wajib. Nak dapat tidak itulah kemestian seorang anak.

Ada perbezaan di sini antara anak lelaki dan perempuan kerana setelah seorang anak lelaki berkahwin, pertalian jasa hayat dengan ibu bapanya masih terjalin manakala seorang anak gadis yang sudah bergelar isteri maka suaminya adalah tunggak redha Allah.

Rasionaliti mungkin tidak akan memahamkan kita hakikat ini kecuali ajaran agama Islam sahaja yang mampu menghuraikan kenaifan minda akal dalam pentafsiran hukum syariah Allah berkenaan ketaatan kepada ibu bapa ini.

Apapun, memenuhi keperluan adalah keutamaan setiap anak tidak kira dalam apa keadaan sekalipun, kehendak juga perlu diusahakan sedaya mungkin walau nampak zahirnya akan membebankan, tetapi yakinlah bakti kepada ibu bapa akan tunai di balas Allah di dunia lagi, segera pasti.

Tidak perlu takut untuk sedikit beban yang akan tidak ternilai kiraan pahala disisi Allah itu. Yang perlu kita risaukan dan pinta ialah keredhaan ibu bapa yang mensyiarkan redha Allah serta menjamin keberkatan hidup kita walaupun dalam apa jua keadaan, Insya-Allah. Dengan keredhaan inilah pintu segala kebahagiaan, keredhaan akan dapat dibuka dan dinikmati kelak, itulah kuncinya.

Suatu hari ketika balik bercuti ke kampung dari ibu kota saya madah dengan jelas kepada kedua ibu bapa saya selepas menunaikan solat jemaah bersama-sama : “Umi, Abi..Abe nyusoh ko abi nga umi hampir 20 tahun lebih doh. Jadi lepah ni iktikad Abe tok sir doh nyusoh ko Abi nga Umi dale segenap hal. Cumo Abe nok dari Umi nga Abi, doa ko Allah mintok Abe berjayo dunio akhirat, insya-Allah Umi, Abi dan adik-adik akan tumpe sene insya-Allah. Selagi perkara yang Abe buat lepah ni tok langgar hukum Allah mintok Umi nga Abi redho..”

Maksudnya : “Umi, Abi..Abang dah menyusahkan Umi dan Abi hampir 20 tahun sudah. Jadi lepas ni iktikad Abang takkan menyusahkan Umi dan Abi lagi dalam segenap hal. Cuma Abang mintak dari Umi dan Abi doakan abang berjaya dunia akhirat, insya-Allah Umi, Abi dan adik-adik akan tumpang senang insya-Allah. Selagi perkara yang Abang buat lepas ni tak langgar hukum Allah mintak Umi dan Abi redha..”

Disimpul-simpul

Perlulah disedarkan bahawa antara realiti dan rasionaliti ada satu istilah lagi yang mampu memansuhkan hegemoni pemikiran yang objektif itu. Istilah berkat adalah suatu perkataan yang tidak pernah diajar dalam silibus mata pelajaran yang berkiblatkan kebaratan. Malah ahli falsafah dahulu kala hingga sekarang jika mereka itu bukan Islam tidak pernah menyingkap serta memperkatakan tentang berkat. Hanya Islam yang membawa, mengajar dan mengharap kepada keberkatan.

Maka jika kita butuh dan berusaha dengan sepenuh harapan serta melaksanakan tanggungjawab sebagai hamba kepada tuhannya, umat kepada Rasulnya dan anak kepada ibu bapanya. Jadi perlukah lagi kita sangsi tentang keberkatan? Malah terhadap kepertanggungjawaban kepada kedua ibu bapa? Fikirkanlah.