RSS
Write some words about you and your blog here

BILA HIDAYAH MENYAPAKU :)

Kenangan itu masih mengimbau kotak mindanya. Masih menjadi teman setia kepada mimpinya yang enggan pergi pada dinihari yang kedinginan itu.

‘Adakah engkau melihat orang yang mengambil nafsunya menjadi Tuhannya dan allah menyesatkannya kerana mengetahui (Kejahatan hatinya) selepas didatangi ilmu kepadanya” ( Jatsiyah:23)

Mengapa dia masih berperasaan sedemikian sedangkan telah diusir perasaan itu dari dalam dirinya sejak lama dahulu. Hidupnya kini telah dibebaskan dari perasaan yang membelenggu jiwanya itu. Perasaan serba salah dan dosa yang amat. Kenapa kenangan itu harus kembali semula?

Dan dia cuba untuk memadam memori silam namun kisah itu bagaikan berterbangan di kotak matanya yang hampir berair.

5 tahun lepas..

“Awak, awak sanggup tak buat apa sahaja untuk saya?” Harman dengan lembut bertanya, sambil membelai rambutnya yang bertebangan dek angin yang melambai.

“Hurrm…. Apa dia? Banyak dah saya buat untuk awak ini,” dengan senyuman manja dia membalas.

Ya,apa lagi yang dia tak buat untuk Harman. Segala-galanya akan diserahkan buat pujaan hatinya itu. Harman Haji Khalid. Pemuda idaman yang menjadi siulan rakan-rakan di kampusnya. Pemuda tinggi lampai berbidang sasa. Lesung pipinya menjadi pelengkap kepada wajahnya yang sudah setia tampan. Dengan sedikit kumis di dagunya, Harman mempu menggetarkan sekilas pantulan mata wanita. Dan Harman adalah miliknya! Siapa yang tidak berasa bertuah mendapat jejaka itu. Apa sahaja untukmu Harman akan kutunaikan!

“Saya tahu. Saya tahu awak sanggup buat apa sahaja untuk saya. Tapi itulah, permintaan ini agak berat sikit. Tak taulah awak sanggup tak nak buat,”

Adlina mula berkira-kira sendiri akan permintaan Harman. Kadang-kadang dia sendiri keliru dengan dirinya sendiri. Dia tahu apa yang dilakukannya adalah salah. Duduk berdua-duaan di tempat sunyi sambil bersentuh-sentuhan. Tapi dia tak mengerti kenapa dia sangat suka buat perkara itu. Dia merasakan kebahagian tak terhingga bersama Harman. Hidupnya terasa berbunga-bunga penuh makna. Hari-hari dia bernyanyi riang sepulangnya dia pulang keluar bersama Harman sehinggakan adik beradiknya lali dengan suara sumbangnya menyanyi-nyanyi di dalam bilik air.

Kadang-kadang bisikan hatinya menghembus udara suci, minta dirinya untuk berhenti sejenak dan berfikir. Kadang-kadang dia membuka mahkota agungnya di hadapan Harman.Harman teringin melihat kecantikannya. Kecantikan yang sepatutnya dinikmati oleh mereka yang berhak. Namun Harman berjanji padanya jika ada rezeki mereka akan berkahwin. Dia tahu Harman takkan menipu. Harman terlalu baik untuk menipu.

Allah akan ampunkan dosaku, bisiknya. Dia bukan tak nak kahwin. Cuma masanya belum lagi. Dan dia pasti, pintu taubat itu sentiasa terbuka. Allah akan ampunkan dosa-dosanya. Lagipun dia masih solat dan bertudung di hadapan orang lain.

“Cakaplah sayang, apa dia?”

Perlahan-lahan Harman meramas tangannya dan memegang kejap kedua belah tangannya. Jantungnya berhenti berdegup. Kadang-kadang Harman gemar membuat aksi-aksi romantis, dan dia sangat rasa dihargai apabila Harman melayannya sebegitu.

“Adlina permata hati saya, sudikah Adlina menjadi pemaisuri rumah tangga saya? Yang akan mewarnakan hari-hari saya dan menjadi ibu kepada anak-anak saya?”

Dia gumam. Terkesima. Antara gembira dan teruja. Dia tak mampu berkata apa-apa. Ada manik-manik yang hampir jatuh di pipinya. Perasaannya terlalu gembira tetapi tiada kalimah yang dapat mengucapkannya.

“Tapi Adlinaku sayang, boleh tak saya nak minta sesuatu dari awak?”

Dan dia membiarkan Harman berbisik halus di celah rongga telinganya. Matanya bulat tatkala Harman habis berbicara. Diketap kedua bibirnya. Keliru dirasakan dirinya ketika itu. Dia masih belum boleh berkata-kata sambil merenung bebola mata Harman yang berharap.

Lama ditenung mata hazel jejakan yang menjadi pujaan ramai itu. Mata itu mampu mencairkan hati perempuan-perempuan yang lemah.

Dan akhirnya dia mengangguk setuju...

‘ Tolong aku Azia! Tolong aku! Dia nak orang lebih 21 tahun untuk kasi kebenaran aku buat operation tu!”

“Yang kau buat kerja tu sape suruh. Kau tak ingat Tuhan ke? Tak ingat dosa pahala? Kau tak ingat kat mak ayah ke?Pastu kau nak heret aku untuk tolong kau?”

“ Jangan macam tu Azia, aku perlukan sangat pertolongan kau sekarang ni. Kau jangan tambahkan lagi masalah aku!”

Adlina menangis teresak-esak di peha kakaknya. Dia rasakan empangan air matanya telah pecah. Dia sangat bingung ketika dan tiada siapa lagi yang boleh diminta pertolongan melainkan kakak kandungnya sendiri.

“ Aku tahu kau sayangkan Harman tu. Tapi dia yang harus bertanggungjawab ke atas kau. Aku bukan tak nak tolong kau tapi aku nak dia bertanggungjawab!”

“ Azia! Dia tak ngaku tu anak dia. Dia dah tinggalkan aku dah! Dia tu memang tak guna! Jantan miang! Pergi jahanam dengan dia!” Adlina terus menerus menangis sambil menjerit-jerit kepada kakaknya. Mujurlah dia berada di flat kakaknya yang tidak berpenghuni. Dihentak-hentak bantal yang berada di sofa ruang tamu.

Dia berasa dunia dia gelap. Dia harus gugurkan kandunganya itu! Dia mesti! Tapi dia masih di bawah umur. Cuma kakaknya sahaja harapannya untuk dia mendapat tanda tangan keizinan untuk melakukan pengguguran itu. Tanpa tanda tangan itu, tiada klinik yang akan menerimanya untuk dibedah.

“Ok. Begini. Aku sanggup tolong kau. Tapi dengan satu syarat.”Kakaknya menarik nafas berat. Seolah-olah mahu memberi amanah besar di pundaknya.

Kakaknya menyambung, “Aku nak kau tinggalkan universiti itu dan apply untuk study di overseas. Aku nak kau tinggalkan Harman itu. Aku tak mampu nak tanggung kau ke sana. Mak abah tak boleh tahu pasal benda ini. Aku tak nak kau menyebabkan mereka tak mengaku kau sebagai anak mereka. Kau ada otak pandai, aku rasa kau akan dapat tempat tu. Bile kau tinggalkan universiti itu, kau jangan beritahu sesiapa pun kau akan ke mana. Aku tak nak kawan-kawan kau cari kau.Aku nak Harman betul-betul lenyap dalam hidup kau!'

Dia masih ingat pada malam hujan renyai di mana kakaknya Azia memberi ceramah yang panjang lebar dalam mencorakkan masa depannya. Dirasakan hidupnya ketika itu kelam dan gelap, segelap batu di hitam di malam hari. Tetapi kakaknya memberikan sinar harapan baginya.

Dia berjaya mengugurkan kandunganya yang baru berusia 5 minggu itu. Itulah dosa besar paling dahsyat pernah dilakukannya setelah dosa yang dilakukan saat dia menunaikan permintaan Harman untuk menjamah tubuh yang tidak halal baginya. Mengapa dia begitu bodoh melakukan pekerjaan terkutuk itu?

Allah cintakan dia! Itu dia sangat pasti kerana Allah masih menyelamatkan dia! Setelah apa yang telah dia lakukan Allah masih sayangkan dia!

Dan kini dia melalui kehidupan yang bersih, sebersih bayi yang bahu lahir. Dia bertaubat dengan taubat yang sesungguhnya.

“Orang yang bertaubat dari dosanya adalah seperti orang yang tidak berdosa lagi” ( Hadis)

“Adlina, akak nak tanya ni....,’

Kak Rahmah yang menjadi penjaganya di bumi kangaroo itu menyapanya mesra setelah melihatnya begitu lama mengelamun. Dia berada di rumah Kak Rahmah ketika itu kerana ada kuliah ilmu di situ.

“Adlina sudah bersedia untuk berumah tangga?”

Terkejut dan terperanjat, dia tunduk menyepi. Dia merasakan air matanya mahu gugur dan hatinya dirasakan mahu pecah. Namun digagahkan juga hatinya. Bagaimana mampu dia menjawap persoalan itu sedangkan dirinya itu kotor dan jijik? Lebih dahsyat dari bangkai anjing yang dicampakkan ke dalam lombong najis? Manakan boleh aku hidup bersama dengan manusia yang tidak pernah ada noda dalam dirinya?

“ Sesungguhnya taubat yang dapat diterima oleh Allah untuk orang-orang yang mengerjakan kejahatan kerana kejahilan, kemudian mereka bertaubat dalam masa yang dekat” ( Nisa:17)

Lama dia menunduk. Tiba-tiba dia merasakan ada sentuhan lembut di bahunya.

‘Lina, akak minta maaf jika pertanyaan akak mengguris hati Lina. Akak tidak tahu yang Lina belum bersedia. Walaupun Lina masih belum menceritakan pada akak tentang perkara yang sentiasa menghantui diri Lina, tapi akak sangat harap Lina akan dapat melupakan kisah itu. Allah itu maha menerima taubat. Dia mendengar doa hamba-hambaNya. Akak yakin, sebesar manapun dosa Lina pada Dia, Dia akan ampunkan Lina.’

Dia mengangguk lemah. Dalam hatinya tidak putus –putus beristighfar agar dikuatkan hatinya.

‘Akak dan suami akak cuma risaukan Lina sahaja. Hidup di negara bukan Islam ini banyak dugaannya. Cabaran datang dari pihak bukan Islam mahupun bukan.’

Lina mendengar kata-kata Kak Rahmah dengan penuh cermat. Walaupun persoalan perkahwinan adalah persoalan yang tidak mampu difikirkannya sekarang. Namun dia tahu, semenjak mengenali Kak Rahmah, Kak Rahmah hanya berbicara jika perkara itu penting dan masanya sesuai sahaja.

Adlina sedar, dia telah banyak berubah semenjak datang ke situ. Tudungnya mula bertutup kemas. Pergaulannya sangat terjaga. Banyak ilmu-ilmu Islam yang dipelajarinya di situ. Malah dia benar-benar merasakan nikmatnya Islam itu apabila di datang ke bumi orang putih ini.

Dia sedar dia perlukan teman hidup yang kuat untuk menyokongnya untuk kekal berterusan di atas jalan ini. Yang mampu membimbingnya tanpa kebosanan mengenal penciptaNya dan beramal dengan sunnah NabiNya.

‘Akak harap Lina sudi memikirkan perkara ini. Terpulang pada Lina untuk membuat pilihan. Pemuda itu sendiri tidaklah sempurna juga. Dia turut mengalami pengalaman yang serupa dengan Lina. Tapi. dia sudah pun bertaubat dari dosa-dosa silamnya. ’

Lina mengangkat muka dan merenung Kak Rahmah penuh kaget. Mana akak tahu?bisik hatinya.

‘Usah risau Lina, tiada siapa yang memberitahu kami. Cuma kami rasakan sahaja. Sudah ada seorang yang seperti Lina juga tapi alhamdulillah, di sini dia menemui cahayaNya.’

Adlina berfikir lama sambil menatap kosong ke sisi ruang tamu rumah Kak Rahmah. Teman-temannya sudah lama pulang. Sengaja Kak Rahmah minta dia pulang lewat hari itu.

‘ Jika Lina dah buat keputusan, nanti datanglah rumah akak minggu hadapan. Insyaallah dia akan datang juga untuk hadiri pengajian dengan suami akak. Dia pemuda yang paling baik akhlaknya pernah akak lihat. Tak pernah tinggal kuliah ilmu dan tidak pernah tinggal solat jemaah subuh di masjid.’

Adlina tersentak sejenak. Layakkah aku untuk pemuda itu? Manakan sama aku dengan dia! Adakah mampu aku memelihara cintaMu Ya rabb di saat aku memiliki seorang lelaki dalam hidupku? Adakah aku tidak akan melupakanMu dan meninggalkan jalanMu di saat aku sudah berteman nanti?

“Katakanlah: Jika bapa-bapamu, anak-anakmu, saudara-saudaramu, isteri-isterimu, kaum keluargamu, harta kekayaan yang kamu usahakan, ataupun perniagaan yang kamu khuatiri kerugiannya dan tempat tinggal yang kamu sukai, lebih kamu cintai dari Allah dan rasulNya dan berjihad di dalanNya, maka tunggulah sampai Allah mendatangkan keputusanNya’ ( Anfal: 24)

Dia sudah serik dikecewakan manusia dan dia pernah membenci lelaki dengan kebenciannya yang kesumat. Namun dia sedar dia tak boleh menyimpan perasaan itu. Allah menciptakan manusia itu berpasang-pasangan. Tidak boleh kerana seorang pemuda dia membenci keseluruhan lelaki di atas dunia!

Tapi dia tidak mahu lagi terlalu menyintai manusia! Mereka membuatkannya kecewa!

‘Perkahwinan itu seharusnya memberi kekuatan dan sinergi kepada individu dalam rumah tangga itu, bukan melemahkan. Jika isteri leka suami mengingatkan, jika suami lalai isteri menyedarkan. ’ begitulah kata-kata Kak Rahmah di saat kami berbicara tentang perkahwinan dengannya.

Di saat itu, hawa dingin semula jadi menerobos ke dalam bilik sepinya, menggigilkan tubuh badannya. Di saat hening itu dia merasakan Allah sangat dekat dengan dirinya, lantas dia menadahkan tangannya ke langit sambil memohon:

“ Ya Allah, jika benar dia pilihan terbaik untukku, maka tunjukkanlah aku jalanMu dan janganlah Kau palingkan cintaku dariMu.”

Dia mendengar suara kekecohan berada di rumah Kak Rahmah. Bagaikan ada kenduri yang kecil. Kak Rahmah kata ada majlis ilmu, bukannya majlis makan-makan. Mungkin ramai orang barangkali, fikirnya.

Di saat dia masuk, ramai orang lelaki sudah mula beredar dari ruang tamu rumah Kak Rahmah itu. Tersipu-sipu dia bergegas ke ruang dapur untuk menemui Kak Rahmah. Segan dia kepada lelaki bukan ajnabi.

Kak Rahmah memeluknya dengan penuh kehangatan, menghilangkan hawa sejuk yang dialaminya di saat kedatangannya ke rumah itu.

‘Ibu, mari sini ibu. Bawa Lina sekali,’ Kedengaran suara Abang Hakim memanggil isterinya dari luar.

Kak Rahmah menarik tangan Lina dan di bawanya ke ruang tamu. Lina terlihat susuk tubuh yang agak dikenalinya duduk bersimpuh sopan di sisi Abang Hakim. Pernah aku lihat pemuda ini, dia berkira-kira. tapi di mana ya? Fikirannya pantas memikirkan. Dia cuba untuk mencuri-curi pandang ke arah lelaki itu namun lelaki itu juga tunduk statik menghadap lantai rumah.

Lina dengan mata tertunduk duduk di balik Kak Rahmah. Dia memang agak kekok berada dalam suasana begini. Apatah lagi dalam majlis yang sebegitu.

‘Adlina Malik. Kenalkan, ini calon suamimu, Harman Haji Khalid.’

Di saat itu, dua insan di bilik itu mengangkat wajah masing-masing sambil merenung tajam antara satu sama lain. Ada makna di sebalik pandangan itu. Ada jawapan yang mahu diselidiki tapi suara mereka seolah-olah tenggelam di balik bunyian heater yang memanaskan ruangan di bilik tamu itu.

Kak Rahmah dan Abang Hakim mungkin menjadi insan paling hairan melihat mereka di tika itu…..

KAMI BERKAHWIN DIATAS JALAN DAKWAH :)

“Seutuh kasihmu sayang, adalah dambaan hatiku….syukur atas rahmat Tuhan Yang Satu…Assalamualaikum…..
Ikhlas mencintaimu...
Abang….

Air mataku mengalir lebat membasahi pipi…saya terkenang kembali nostalgia kisah suka dukaku bersama insan yang telah berjanji setia mengasihiku hingga ke akhir hayatnya...

Dalam debu-debu nipis yang membaluti sampul kecil tanda terakhir cintanya buatku, ada tersirat rasa kasih yang mendalam darinya untuk diriku ini dengan izin allah rabbul izzati….

Fikiranku kembali mengingati seraut wajahnya yang tenang setenang air di kali…tidak pernah hatiku di sakiti,jauh sekali menguji sedalam mana ikhlasnya cintaku dan setinggi mana kesabaranku menanti hadirnya sebagai raja dalam hidup ini….sentiasa dibibirnya mengungkap rasa rindu padaku sekalipun setelah kami berumah tangga…hidupku bahagia dengan hadirnya Hadi Hafis,suamiku dunia akhirat,insya allahu rabbi…

Bermulanya perkenalan kami di sebuah institusi pengajian tinggi luar negara…walaupun kami tidak sefakulti,namun jodoh menemukan hati ini…Hadi adalah kasih pertama yang hadir dalam hidupku….Bermula dengan sebuah sajak “Sesuci wajahmu Hawa”nukilannya, hatiku mula tertaut pada Hadi…sajak dalam risalah pelajar Muslim “an-Nas” itu kugunting dan kusematkan di dalam diari hijauku…(kebetulan warna kegemaran Hadi).Namun kusimpan rasa kasih itu dalam-dalam kerana kuyakin perasaan ini akan menjadi jahid yang tinggi nilainya di sisi seorang muslimah sepertiku…itu janji Tuhan buat insan bergelar perempuan dan saya tidak mahu ketinggalan merasai ganjaran itu walau saya akur,bukan mudah untuk menolak keinginan berterus-terang….Sesekali terdetik perasaan untuk saya memulakan perkenalan,namun imanku menepis rasa di hati dengan istighfarku kepada Allah….

Terkadang, apabila berselisih dengannya ,jantungku berdegup kencang…Ingin saja ku melemparkan senyuman yang paling manis buat insan yang telah menambat hati dan mewarnai hidup ini…namun maluku mengatasi segalanya…Alhamdulillah…sesekali saya diusik rakan-rakan,tapi saya tidak mengalah.Ego untuk membela akhlakku menyelamatkan diri ini dari terus menjadi usikan rakan-rakan….saya hanya membisu …Tidak mahu saya layani telatah rakan-rakanku,kerana saya tidak mahu nafsu amarah ini kalah dengan jihad yang sedang kubina atas dasar kasihku pada Allah Yang Maha Satu.

Dikala mindaku bercelaru,saya pasti merehatkan diriku di bangku taman universiti.Kehijauan taman itu membuatkan benakku berfikir tentang keesaan Allah sekali gus meleraikan kesedihan jiwa .Bertemankan sebuah buku bertajuk “Semanis Kesabaran”nukilan Syeikh Ahmad hadiah dari ayah sebelum saya berangkat ke sini. saya duduk bermuhasabah memikirkan betapa lemahnya jiwaku.Tidak setanding mujahadah yang berjuang membela Islam di serata dunia, berjuang dengan syahadah yang jitu dan matlamat yang satu…Bertunjangkan keimanan dan ketauhidan terhadap Allah...
Pernah satu ketika,mindaku buntu memikirkan ujian Tuhan yang tidak pernah putus mendambakan kesabaranku menunaikan kifayah ini..Mengenang nasib ibu dan ayah di kampung yang semakin tua dimamah usia,dengan pendapatan yang tak seberapa menyara kehidupan kami 3 beradik…dan kerana ini jualah sebenarnya kubenamkan rasa cinta yang berputik buat Hadi.saya mahu menjadi seorang anak yang dapat membela masa depan keluarga dan membalas jasa orang tua yang telah mencurahkan sepenuh kasih sayang mereka buatku hingga ke hari ini…..

Tiba-tiba kedengaran ucapan salam dari seorang lelaki…lamunanku tersentak.. Namun saya tidak mendongak…rasa malu sudah datang menerpa…Tapi mengapa??Ya,suaranya seperti pernah kudengar sebelum ini.Suara yang selalu menggamit mindaku untuk berpindah ke alam khayalan…Suara yang selalu datang dalam mimpiku…Suara yang sering mengimami jemaah solah di surau universiti…Ikhlas dan penuh rasa rendah diri…Kusambut salamnya dengan penuh debaran …Seketika itu saya terasa mahu lari dari tempat itu….Balik ke bilik dan menelekupkan mukaku ke bantal…saya tahu mukaku tidak merah,kerana kulitku bukannya putih ..Tapi,hitam manis…Hmmmm..satu advantage buatku…saya hanya menguntum senyum dibibir …Muncul satu perasaan yang sukar saya gambarkan… Senyumku berbalas.Bahagia….Cepat-cepat saya membetulkan posisiku,supaya saya tidak teus hanyut dalam perasaan itu…saya tunduk dan lelaki itu melabuhkan punggungnya di bangku kayu jati bersebelahan tempat rehlahku…Hadi…Namun dia tidak lama di situ…setelah menghulurkan sebuah bungkusan hijau kepadaku, Hadi berlalu pergi…Sekali lagi ucapan salamnya kedengaran….Beserta bungkusan itu ada sekeping kertas putih bercoret tinta biru…Mujur sebentar saja pertemuanku dengan hadi petang itu…saya tak mahu di salah erti…Dan saya tahu hadi juga begitu…

saya melangkah pulang kebilik….Kugenggam pemberian Hadi sekemas mungkin …Dengan penuh tanda tanya….

Setelah selesai menunaikan fardhuku kepada Allah dan memohon doa padaNya ,saya berbaring di katil…Segera kubuka warkah Hadi yang belum sempat kubaca….Hatiku terharu dengan warkahnya yang pertama buatku itu…..

“Assalamualaikum buat kenalanku Firdaus…
Maaf sekiranya warkah ini mengganggu saudari ketika ini….Persoalan yang terbuku di minda membuatkan Hadi ingin sekali mengetahui apakah permasalahan di minda saudari yang sering Hadi lihat duduk berseorangan dan berduka dibangku taman universiti…Bukan sekali hadi lihat saudari di situ,tapi hampir setiap petang….Niat Hadi bukan untuk menyibuk tentang hal saudari,cuma mahu mengetahui mungkin ada sesuatu yang boleh Hadi bantu untuk meringankan beban di hati dan mengembalikan keriangan yang pernah Hadi lihat di wajah Firdaus ketika dulu…..Maaf sekali lagi andai warkah Hadi ini tiba pada waktu yang tidak sepatutnya ….Sekian dulu dari Hadi,maas salamah…”

saya melipat kemas warkah itu dan kusimpan di dalam diari hijauku….saya tahu bibirku sekali lagi menguntum senyuman yang paling manis…Kali ini,menampakkan baris gigiku yang putih bersih…Hasil pengamalan sunnah rasulullah untuk bersugi setiap kali sebelum solah….

saya menghela nafas panjang….Kuletakkan diariku disisi…Dan seketika itu saya di buai mimpi…..

Semenjak dari itu,saya semakin akrab dengan Hadi…Namun keakraban kami bukan seperti yang selalu digambarkan dalam kaca tv…Akrab yang saya maksudkan adalah dari segi peringatan yang selalu Hadi beri buatku,dalam bentuk sajak,cerpen dan puisi…Hadi memang pandai menulis…Hasil karangannya sungguh terkesan dihati ini…Setiap kali membaca coretan penanya,mindaku terasa ringan dari bebanan masalah…berpesan-pesan kepada kebenaran,dan berpesan-pesan pada kesabaran…Dengan firman Allah itulah,hatiku semakin yakin menundukkan rasa tekanan yang sering datang menggoyahkan sabarku terhadap cubaan yang diberiNya….

Pada setiap bulan puasa,Hadi tidak pernah lupa mengirimkan berkotak-kotak kurma buatku…Katanya berseloroh dalam warkah yang disertakan bersama sekotak kurma yang dikirimnya melalui Hafizah rakan sekuliahku ,“ Kurma ini ‘pemanis muka’ buat saudari Firdaus di sana.Segar Hadi petik dari tanah suci.Bila kita berumah tangga nanti, bolehlah kita menunaikan haji bersama-sama ya”…Dalam hatiku,saya mengaminkan selorohnya…Pernah jua Hadi mengirimkan nota-nota fotostat yang dikumpulnya dari rakan-rakan fakulti perubatan dan memberinya kepadaku…Dia berpesan supaya berusaha untuk menunaikan kifayah ini dengan sebaik-baiknya.Sudah pasti harapan itu tidak kuhampakan…Harapan dari seorang lelaki yang sungguh istimewa dalam hidupku, namun dia tidak pernah tahu.Hasilnya,Alhamdulillah, saya cemerlang dalam setiap peperiksaan tahunanku…….

Hadi selalu mengirimkanku doa-doa yang didapatinya dari kitab-kitab ulama terkemuka…katanya doa itu senjata umat Islam…usaha itu datang bersamanya dan tawakkal mengiringi setiap usaha yang tidak pernah mati…

6 tahun berlalu….akhirnya saya berjaya meraih ijazah yang kuidam-idamkan selama ini….Air mata kesyukuranku tumpah ke bumi …saya bergelar doktor kini….Cintaku Hadi(walau dia tidak pernah tahu sehingga kini) bergelar professor di salah sebuah universiti di tanah air..warkahnya yang hadir setiap bulan menemani hidupku dan membakar semangatku untuk terus berjaya ke akhirnya….Harapanku untuk menjadi insan yang istimewa dalam hidup hadi,tidak pernah padam,seawal tahun pertama kami disini….Ibu dan ayah tidak menyertaiku pada hari bahagia itu…Namun kutahu,doa merekalah yang menjadi tunggak kejayaan yang kuperoleh…Dalam hatiku,kupanjatkan kesyukuran yang teramat sangat kepada Allah…saya tidak mungkin dapat merasai kegembiraan ini tanpa izinNYa…

Kepulanganku disambut ibu dan ayah…Kedut-kedut di dahi ibu kucium sepuas-puasnya…Urat hijau yang timbul ditangan ayah kukucup dengan penuh kerinduan…Tidak sabar rasanya untuk saya berjumpa dengan adik-adik yang telah kutinggalkan 6 tahun dahulu…Pastinya mereka sedang menunggu kepulanganku dengan gembira…

Setibanya di rumah Ahmad berlari mendapatkankku,adikku yang paling kecil sekali…Sudah pasti dia mengenaliku dari gambar yang kukirimkan kepada keluarga setiap tahun sejak tahun pertama lagi…adikku Jannah menunggu di halaman rumah dengan senyuman yang penuh ceria…Masih kuingat lagi,sewaktu saya meninggalkannya,Jannah menangis mahu mengikutku bersama-sama…Kini jannah sudah remaja…berkain batik, anak dara sunti lagaknya….Dia menyambut tanganku lantas mengucupnya dengan titisan air mata…Dia memang tidak pernah berubah….Mudah sekali mengalirkan air mata..Memang dia manja denganku….Kehangatan inilah yang kutunggu selama 6 tahun ini,untuk bersama keluarga yang telah lama saya tinggalkan demi sebuah impian untuk menjadi doktor…

Malam itu ayah menyuarakan sesuatu yang mengejutkan saya…seseorang telah datang merisik diriku…Jannah menyiku sambil tersenyum simpul…”Hadi Hafis,” kata ayah…mahu saja saya menjerit kesyukuran ketika itu…tapi ku tahan…ku tahan perasaanku…kutundukkan muka dan tiba-tiba saja refleksku mengambil alih pergerakkanku…saya bingkas bangun dan meninggalkan ayah,ibu dan adik-adik di meja makan selepas meminta diri…terasa bodoh pula tindakanku ketika itu….saya berlari mendapatkan diari hijauku di bawah bantal.Kubuka surat hadi yang dikirimkan dalam bentuk sajak’Pabila tiba masanya’…

Aduhai Hawa,
Pabila tba masanya. saya pasti berlari mendapatkanmu,
Mendapatkan kasihmu yang seindah pelangi alam,
Yang setenang air di muara kasih,
Yang sesuci hamparan cinta kau simpan dalam ketaqwaan…

Wahai Hawa,
Bila gerimis menyelimuti pawana,
Petir menjalar di langit hitam,
Dan bila sengsara datang bertandang,
Bermunajatlah dengan penuh rasa kehambaan,
Agar syahadahmu kukuh bertautan….

Bersabarlah Hawa,
Kerana kesabaran itu seindah mutiara
Tercipta didasar lautan,
Walau sebesar mana gelombang mendatang,
Sinarnya tetap gemilang,
Dan begitulah hakikatnya sabar,
Yang pasti menyelamatkan kewarasanmu dari hilang….

Sungguh wahai Hawa,
Dihati ini ada perasaan yang sukar kuungkapkan kepadamu,
Kerana wajahmu yang penuh rahsia,
Kerana wajahmu yang membuatkan ingatanku pulang,
Pada yang maha Esa,
Menjadikan lidahku kelu berkata-kata…..

Kugenggam erat warkah itu dan ku baca berulang kali….Seolah-olah mimpi jadi kenyataan….Hadi bakal suamiku….Kedengaran pintu bilikku diketuk berulang kali….Emak masuk dan melemparkan senyuman yang selalu saya rindu suatu ketika dahulu….Kata emak,semuanya terpulang padaku….”Mahu atau tidak…emak tak kisah,asalkan anak emak gembira”……Kuberbisik di telinga emak tanda memberikan kata setuju….Kukucup jemari kurus emak lantas emak membalas dengan belaian yang penuh kasih …..Walau emak sudah semakin berusia….segar kasihnya masih lagi seperti dulu….

Hadi Hafis dan Ikhwatul Firdaus selamat diijab kabulkan……….

Banyak yang saya pelajari dari perkongsian hidupku dengan Hadi….rajukku di pujuk…lembut dan tenang….Sedihku di redakan dengan kemanisan wajahnya dan belaiannya cintanya padaku…Dan begitu juga saya,menyayanginya dengan sepenuh jiwa…Dialah lelaki pertama dan terakhir yang akan menjadi raja hidupku ini…saya cuba menjadi isteri yang solehah walau kelemahan ku tetap muncul di sana sini….Namun suamiku tidak pernah menyuarakan ketidak puasan hatinya…Tidak pernah sekalipun lakunya menampakkan kekuranganku…tidak pernah sekali,keluhan terhembus dari bibirnya ….Kelemahanku dibaikinya dan diganti dengan kekuatan…Ya,kekuatan sebagai seorang wanita Islam yang perlu berjuang menegakkan agama dalam setiap geraklakunya….

Begitulah pesan Hadi yang kini kupanggil’abang’….

Setiap kali selesai solat….Abang akan memberikan tazkirah buat peringatan kami dunia akhirat…Tidak pernah sekali abang terlepas dari menjadi imam solat fardhu ketika kami sama-sama dirumah…Tahajjud pun kami lakukan berjemaah…Sungguh saya rasa bahagia manisnya berumah tangga yang cintanya berlandaskan syiar Islam….Masih saya ingat lagi,sewaktu malam pertama saya dan abang,kami solat hajat dan sujud syukur bersama-sama…..Kata abang,biarlah landasan dan tapak masjid yang kami bina ini atas dasar ibadah ,bukan nafsu semata-mata……hingga ke hari ini….pesan abang bersemadi di hati….

Setelah 6 tahun berumah tangga,kami dianugerahkan 3 cahaya mata…Malam itu,abang hadi menyuarakan hasratnya padaku,tentang menunaikan rukun Islam yang kelima bersamaku dan anak-anak… Ya,seperti dalam selorohnya yang ku aminkan dulu….saya tersenyum sendirian ……..Pastinya saya setuju dengan cadangan itu…. Abang Hadi menanggung perbelanjaan ibadah itu…Hasil simpanan sejak di universiti lagi katanya…saya terharu…..Kata Abang Hadi, umrah dan haji biarlah dilakukan bersama-sama sementara waktu mengizinkan…seperti yang selalu diingatkannya….’hidup sebelum mati’…….

Setelah tamat kursus haji kami berangkat ke Tanah Suci….Ibadah yang kami lakukan berjalan lancar .Cuma abang Hadi kelihatan tidak begitu sihat seperti sebelumnya…Apabila ditanya…hanya kuntuman senyum yang diberikan kepadaku,seperti selalu….Di Tanah Suci kupanjatkan kesyukuran kepada Allah yang telah memakbulkan pinta hajatku selama ini…Hanya Dia yang tahu sedalam mana cintaku kepada abang Hadi ….Hanya Allahlah tempat saya bermohon selama ini…Hanya Dialah yang berkuasa memberi dan menarik balik rezeki………….saya bersujud kepada Allah malam itu dengan penuh rasa rendah diri….Kudoakan hidup dan mati kami sekeluarga serta keturunan kami dalam iman dan taqwa serta redhaNya…Biarlah hidup dan mati kami dalam limpah kurniaNya……………….

Malam itu abang Hadi batuk tidak berhenti-henti…..Badannya panas dan mukanya merah seperti menahan kesakitan…..Sebagai seorang doktor,bukan mudah bagiku memeriksa tubuh itu….Tambahan pula, itu suamiku…Cintaku…Kasihku…..Doktor yang bertugas memberi tahu bahawa abang Hadi diserang demam panas….abang Hadi mungkin tidak dapat mengikuti kami bertawaf keesokan hari….Jadi abang Hadi terpaksa tinggal di apartment….saya sebagai isteri tidak mungkin sanggup meninggalkan abang Hadi seorang diri….Sepanjang hari saya menemani suamiku…….saya hanya mengalirkan air mata di sisinya….saya fahami kesakitannya…Namun hanya dengan izin Allah abang Hadi akan sembuh semula…Segala medikasi yang disediakan ku berikan kepada Hadi dengan penuh harapan agar dia sihat seperti sedia kala….Pipiku diusapnya…lemah…tidak bermaya….namun,kehangatan kasihnya masih terasa…..Dalam nafasnya yang lemah,abang Hadi berpesan kepadaku….

“Sayang…..terima kasih abang ucapkan buat dirimu… Terima kasih atas kasih sayang yang tak pernah padam darimu buat abang…terima kasih kerana memberikan abang anak-anak yang soleh dan solehah,insya allah”…..Abang Hadi menarik nafas panjang dan menyambung kata-katanya…kulihat air mata kasihnya berjuraian disisi…Ini kali kedua kulihat abang menangis …kali pertama adalah sewaktu melihat saya melahirkan anak sulungku…Miftahus Solihin bin Hadi Hafis…..

“Sayang,ingatlah tautan kasih yang terjalin antara kita dengan izin Allah….Panjatkanlah syukurmu buatNya sayang…Jangan pernah lupa…Teruskan mendidik anak-anak kita mendalami Islam dan menjaga iman mereka dengan sepenuh jiwa….Berjuanglah membela Islam dan jangan berhenti sebelum menang….Buat dirimu sayang,abang sejak dulu tidak pernah lupa berdoa agar kau menjadi milik abang suatu hari nanti…Alhamdulillah,hajat abang termakbul……Maafkan kesalahan abang andai kata abang pernah melukan hatimu”……Dan saya lihat Abang terlena…….manik-manik putih dimatanya berjuraian lagi…kukucup pipi abang…Sendu semakin terpahat di hati ini…

Malam itu,abang memanggilku dan anak-anak supaya berada di sisinya….Abang berpesan kepada anak-anak kami supaya menjagaku sebaik-baiknya…Dan bersikap mengikut sunnah Rasululullah….Pesan abang,jadikanlah sabar itu sebagai asas perjuangan hidup kami dalam dunia yang semakin mencabar keimanan ini……Anak-anakku terus menerus membaca Al-fatihah….Itulah yang dipesan oleh Hadi kepada anak-anak kami…”Al-Fatihah itu sedekahkanlah kepada emak dan ayah…Tak kiralah dimana pun kamu semua berada…Utuhkanlah ikatan kekeluargaan kita dan tanggungjawab yang terpikul dengan iman di dada…Selesaikanlah semua permasalahan antara kita dengan merujuk kepada kitabNya”…. Anakku yang sulung membelai rambut ayahnya. Ku lihat anak-anakku membeningkan tangisan di mata mereka….. Abang memandangku dengan mata yang sayu …”Assalamualaikum”….kata abang....Walau matanya tak bersinar seperti dulu,namun keikhlasannya tetap kurasai…Tanganku digenggamnya seerat mungkin…Kubisikkan syahadah ditelinga abang….”asyhadu alla ilaa ha illallah”….Abang mengulangnya…perlahan-lahan,tetapi jelas….Hembusan terakhir nafas abang melepaskan perlahan tanganku dari genggamannya……Abang pergi menyambut panggilan Ilahi….Sebelum kuselimuti seraut wajah manis abang yang pernah menceriakan hidupku dulu,menepis segala kepahitan jiwaku,kukucup dahi abang sekali lagi dan kusedekahkan Fatihah buat dirinya….Walau hati ini tersayat luka….Namun saya gembira kerana pernah menjadi seorang isteri kepada lelaki yang soleh dan telah membimbingku kejalan bahagia ini…Terima kasih abang…..

Jenazah abang Hadi kami kuburkan di tanah suci….itulah harapan yang pernah disuarakannya satu ketika dulu…sebelum kami sampai disini..Sewaktu bermulanya perkenalan kami lagi…”Insya Allah,saya teringin sangat mengakhiri riwayat hidup saya di Tanah Suci” itulah jawapannya bila kuajukan soalan tentang impian hidupnya…..
Warkah terakhir darinya kubuka dan kubaca sekali lagi…Warkah yang diminta supaya saya membacanya apabila kami selesai menunaikan ibadah haji dan pulang ke tanah air…..

Sayang,
Bila bumi memanggilku kembali,
Bila jasad ini tidak bernyawa lagi,
Ketahuilah hanya engkau pernah menjadi permaisuri hati,
Melengkapkan citaku selama ini….

Bila kita saling terleka,
Atau semakin ditelan usia,
Atau terpisah oleh ketentuanNya,
Tetapkan hatimu pada kasih abadi,
Kasih Allah Rabbul Izzati….

Sejak dulu wajahmu menjadi ratu hatiku,
Doaku menginginkanmu,
Kutahu doamu pun begitu,
Tapi kau simpan suara hatimu demi jihad itu,
Ini yang membuatkan hatiku semakin tertawan padamu…..

Syukran temanku,suriku,cahaya hidupku,
Abadikanlah kenangan dan kasih kita bersama keakhirnya,
Walau antara kita terpisah jasad dan nyawa……
Iman,amal dan taqwa tetap bersemi di hati selamanya….

Seutuh kasihmu sayang, adalah dambaan hatiku….syukur atas rahmat Tuhan yang satu… ….Assalamualaikum….

Ikhlas mencintaimu...
Abang….

Kulipat kemas warkah abang dan kusimpan dalam diari hijaunya..Ya,warna kegemaran kami berdua…Ada lakaran wajahku pada muka terakhir diari itu….saya tersenyum…Kukucup wajah abang dalam gambar yang kulekatkan dalam diariku….Wajah manis itu seakan menyambut kucupanku…..

“Mak”….Lamunanku tersentak….Soleh menghampiriku…6 tahun berlalu….anak-anakku sudah membesar semuanya….Membesar dengan kasih sayang dan pesan ayah mereka supaya selalu menegakkan Islam walau dalam apa jua perkara….Bahagia inilah yang pernah kurasai dulu…”Mak,adik tanya,jihad tu apa maksudnya mak….”kata soleh menggaru-garu kepala…Kubelai rambut anakku dengan penuh kasih sayang,”Sekejap lagi mak datang”,balasku….Anakku mengangguk-ngangguk dan menyimpulkan senyuman..Seiras wajah ayahnya..Akan ku jelaskan maksud jihad sejelasnya kepada anak-anakku kerana ANUGERAH JIHAD INIlah yang telah membawa sinar kebahagiaan dalam kehidupan kami sekeluarga hingga ke detik ini….………………..Amin….


-TAMAT-

AKU DAN KAU

aku melihat kau
kau melihat aku..
aku nampak baik kau
kau nampak baik aku
aku tengok cacat kau
kau tengok cacat aku
kadang kadang aku tak sedar ttg aku
kadang kadang kau tak sedar ttg kau
bila kau tak ada
aku tercari cari
bila aku tiada
kau juga mencari cari.
kadang kadang aku marah kau
kau terima
kadang kadang kau marah aku
aku pertahan
kita berbeza tapi sehaluan
alangkah baiknya jika kau dan aku sentiasa bersama
melangkah menuju ke sana
tetapi kita terpisah oleh dua aliran
aku dalam bahasaku
kau bersama angka kau
tetapi kita masih mampu terhubung
dalam bahasa melalui angka..
indahnya alam bahasa
canggihnya dunia angka...
mereka menghubungkan kita
aku dan kau terhubung dah lama
tetapi makin lama kita berbeza...