RSS
Write some words about you and your blog here

Seorang Anak: Antara Realiti dan Rasionaliti Realiti




Sebagai anak wajib kita mentaati ibu bapa malah memenuhi segenap ruang keperluan mereka. Walau mereka tidak meminta tetapi cukup dengan bahasa isyarat yang lumrahnya orang tua ini mereka tidak akan secara verbal berkata mahu itu dan ini.

Lain pula halnya kita semasa kecil hingga kealam sebelum bekerja sendiri. Ada kemahuan sahaja terus diajukan, jika tidak dipenuhi dengan segera mengamuk, merajuk dan segala macam pemberontakan seolah tunjuk perasaan dilakukan.

Tanpa memikirkan apakah implikasi permintaan itu yang kadang-kadang menyebabkan mereka terpaksa meniriskan bajet belanjawan bulanan semata-mata untuk memenuhi kehendak seorang anak, itu jika seorang. Kalau 5 orang, 10 orang? Maka bayangkanlah!

Terkadang pula bukan mereka tidak mahu memenuhi permintaan itu tetapi hanya yang dipinta ialah tempoh masa, hujung bulan. Tetapi tidak juga mampu bersabar, terus menekan dan meminta, meraung malah tidak mahu bercakap dengan mencuka masam, hai anak..kenapa lakumu begitu?

Mungkin tidak faham akan situasi realitinya sebagai ibu bapa lagi. Nanti dia dah berumah tangga dan mempunyai anak sendiri, akan tahulah dia pahit maung membesarkan insan yang bernama anak itu.

Agama Islam mengajar kita ketaatan itu jika menurut turutannya maka ibu bapa terletak pada makam nombor 3 selepas Allah dan Rasulnya. Antara ibu dan bapa pula, diberatkan ibu itu dalam kiraan 3 kali ganda daripada bapa mengikut hadis baginda Rasulullah sendiri. “Maka janganlah kamu berkata walau dengan perkataan ‘uh’ (mengeluh)…..”

Rasional

Secara lumrah alam dan adab tertib kemanusiaan ditambah pula adab sunnah seorang Islam, maka berbakti dalam erti kata membalas jasa kedua ibu bapa adalah perkara yang wajib. Nak dapat tidak itulah kemestian seorang anak.

Ada perbezaan di sini antara anak lelaki dan perempuan kerana setelah seorang anak lelaki berkahwin, pertalian jasa hayat dengan ibu bapanya masih terjalin manakala seorang anak gadis yang sudah bergelar isteri maka suaminya adalah tunggak redha Allah.

Rasionaliti mungkin tidak akan memahamkan kita hakikat ini kecuali ajaran agama Islam sahaja yang mampu menghuraikan kenaifan minda akal dalam pentafsiran hukum syariah Allah berkenaan ketaatan kepada ibu bapa ini.

Apapun, memenuhi keperluan adalah keutamaan setiap anak tidak kira dalam apa keadaan sekalipun, kehendak juga perlu diusahakan sedaya mungkin walau nampak zahirnya akan membebankan, tetapi yakinlah bakti kepada ibu bapa akan tunai di balas Allah di dunia lagi, segera pasti.

Tidak perlu takut untuk sedikit beban yang akan tidak ternilai kiraan pahala disisi Allah itu. Yang perlu kita risaukan dan pinta ialah keredhaan ibu bapa yang mensyiarkan redha Allah serta menjamin keberkatan hidup kita walaupun dalam apa jua keadaan, Insya-Allah. Dengan keredhaan inilah pintu segala kebahagiaan, keredhaan akan dapat dibuka dan dinikmati kelak, itulah kuncinya.

Suatu hari ketika balik bercuti ke kampung dari ibu kota saya madah dengan jelas kepada kedua ibu bapa saya selepas menunaikan solat jemaah bersama-sama : “Umi, Abi..Abe nyusoh ko abi nga umi hampir 20 tahun lebih doh. Jadi lepah ni iktikad Abe tok sir doh nyusoh ko Abi nga Umi dale segenap hal. Cumo Abe nok dari Umi nga Abi, doa ko Allah mintok Abe berjayo dunio akhirat, insya-Allah Umi, Abi dan adik-adik akan tumpe sene insya-Allah. Selagi perkara yang Abe buat lepah ni tok langgar hukum Allah mintok Umi nga Abi redho..”

Maksudnya : “Umi, Abi..Abang dah menyusahkan Umi dan Abi hampir 20 tahun sudah. Jadi lepas ni iktikad Abang takkan menyusahkan Umi dan Abi lagi dalam segenap hal. Cuma Abang mintak dari Umi dan Abi doakan abang berjaya dunia akhirat, insya-Allah Umi, Abi dan adik-adik akan tumpang senang insya-Allah. Selagi perkara yang Abang buat lepas ni tak langgar hukum Allah mintak Umi dan Abi redha..”

Disimpul-simpul

Perlulah disedarkan bahawa antara realiti dan rasionaliti ada satu istilah lagi yang mampu memansuhkan hegemoni pemikiran yang objektif itu. Istilah berkat adalah suatu perkataan yang tidak pernah diajar dalam silibus mata pelajaran yang berkiblatkan kebaratan. Malah ahli falsafah dahulu kala hingga sekarang jika mereka itu bukan Islam tidak pernah menyingkap serta memperkatakan tentang berkat. Hanya Islam yang membawa, mengajar dan mengharap kepada keberkatan.

Maka jika kita butuh dan berusaha dengan sepenuh harapan serta melaksanakan tanggungjawab sebagai hamba kepada tuhannya, umat kepada Rasulnya dan anak kepada ibu bapanya. Jadi perlukah lagi kita sangsi tentang keberkatan? Malah terhadap kepertanggungjawaban kepada kedua ibu bapa? Fikirkanlah.

0 luahan hati:

Post a Comment

sape nk comment sila klik disini