RSS
Write some words about you and your blog here

CINTA KEDUA DI YAHOO MESSENGER

Salam semua.
Cerpen untuk semua. ^_^

‘Nadia, dah makan belum?
Ayang buat apa hari ni?
Kenapa Nadia sounds unhappy?
Itu perbualan dahulu. Ketika aku masih jahil. Ketika perbualan berjam-jam di telefon bersama seorang teman lelaki merupakan satu kebiasaan. Bahkan rutin yang menjadi pelik jika tidak dilakukan.

’Nad dah tidur belum? Ke tengah bercakap lagi dengan Danial tu? Sudahlah tu, karang tinggi pulak bil telefonnya.’Begitula h kata ibu, tatkala malam semakin larut dan dia masih lagi bergayut.

Dan dia akan terus menggerutu sendiri dan membawa telefon mudah alih ke dalam bilik. Sambil menyambung untaian kasih asmara bersama Danial di balik selimutnya. Kata-kata Danial seolah-olah lebih enak didengar dari mematuhi suruhan ibu tercinta.

Tapi itu dahulu, sewaktu dia belum mengenal erti sebenar cinta. Ketika lidah masih basah mengungkapkan kata cinta fana. Tatkala dirinya masih naif dan mendambakan kasih dari seorang teruna yang tidak halal buatnya. Sebelum dia mengetahui, di sebalik cinta manusia itu, terdapat satu cinta yang lebih agung, mulia, jernih dan hakiki.

dannybasri: assalamualaikum. nadia ke?
dannybasri : apa khabar sekarang?

Begitu tulisannya , di balik window yahoo messenger yang menjadi medium perantara dua insan berjauhan.

dannybasri: dah lama kita tak jumpe kan?

Entah mengapa tiba-tiba, jantungnya berdebar-debar melihat tulisan itu. Dia mengelip mata berkali-kali seolah-olah tidak percaya. Tapi dia pasti itulah Danial yang dikenalinya. Sekian lama dia cuba mengelak untuk bertemu dengan lelaki ini di alam nyata, kini dia muncul di depan ’mata’! Tidak langsung dia sedari yang dia baru sahaja ‘add’ ID dannybasri sebentar tadi.

Perlukah dia menjawab? Perlukah dia menyulam kembali ikatan yang telah lama terurai? Siapa pula yang memberikan IDnya kepada mamat ini?

Apa salahnya kalau kau membalas. Bukan apa pun. Lagipun dah lama tak dengar khabar. Di satu sisi, hatinya berbisik.

Betul, tapi aku takut, aku akan terjebak di dalam situasi yang sama.Lagipun apa faedahnya dia menghubungi aku ketika ini? Apa tujuan dia?

dannybasri: danny paham kalo nad tak mahu cakap dgn danny. danny dapat ID nad ni pun dr taufiq. lama juga danny minta dari dia, baru skrg dia kasi.

Hmm....siap ko Taufiq. Akanku suruh Dila kenakan kau. Tak tau menjaga rahsia! Dila jaga suami hang bebaik na.... tetapi kupasti Taufiq tidak akan memberikan ID ku tanpa sebab.

Taufiq dan Danial berkawan baik semenjak di bangku sekolah. Selepas SPM, mereka mengorak jalan yang berbeza. Danny mendapat tawaran untuk ke Melborne dan membuat program foundation di sana, sedangkan dia dan Taufiq ditempatkan di kolej persediaan untuk ke United Kingdom.

Sewaktu hangat cinta pertamanya bersama Danny, mereka tidak pernah berhubung melalui media elektronik. Oleh sebab itu, Nadia pasti Danny tidak akan dapat mengesannya semenjak hubungan mereka diputuskan .

dannybasri: hmmm.....danny cume nak minta maaf pada nad. Sudah lama juga danny cuba untuk mencari nad. Setelah kita ..

Dia berhenti. Nadia kaget menunggu. Semua kerjanya terhenti semenjak kemunculan window terbaru itu.

dannybasri : sejak peristiwa dulu, nad cuba mengasingkan diri dari danny. danny tak paham mengapa tetiba nad menyepi tanpa berita. danny call dan datang rumah nad. But no response from u. waktu danny fly pun nad tak datang untuk hantar.
dannybasri: waktu tu i was so confused! why did you do that to me? danny jadi tak betul untuk beberapa minggu sampai mama naik risau! danny rindukan nad bagai nak gile!
dannybasri : tapi bile danny dicampakkan di bumi kangaroo ni, danny dah mula sedar. banyak yang danny belajar dari kawan2 dan senior2 di sini. danny bukan sahaja menuntut ilmu medic tapi sahabat2 danny telah mula mengenalkan danny kepada ketinggian dan kedalaman ilmu Islam.
dannybasri: dan semenjak itu danny mula nampak segala dosa dan kesilapan danny selama ni... terutamanya kepada nad!maafkan danny nad!
dannybasri : danny malu kepada nad. malu kerana nad terlebih dahulu menyedari kesilapan kita.....

Senyap.
Nadia berkira-kira untuk membalas. Tidak tahan rasanya membiarkan Danial berfikir bahawa dia menulis kepada sang tunggul. Lagipun, ingin sangat dia bertanyakan beberapa soalan. Ketegasannya selama ini tidak melayan kaum Adam berchatting melainkan atas urusan kerja dilunturkan sedikit. Gelora di jiwa mengetuk-getuk pintu hatinya untuk menulis. Baru sahaja dia mahu menekan punat D, tiba-tiba Danial membalas.

dannybasri: ada seperkara lagi yang danny nak beritahu.

dannybasri : danny ingat nak call je nad tapi rasanya lebih elok kalo danny cakap di sini saje sebab danny tau mesti nad akan rasa tak selesa bukan?

Nadia tersenyum sendiri. Dah tahu mahu bertanya! Namun di sudut hatinya Nadia kagum dengan Danial yang ’sekarang’. Butir percakapannya lebih teratur dan sopan. Dia menghormatiku sebagai seorang wanita. Tidak seperti dahulu yang melayanku layak seorang suami terhadap isterinya!

Sementara itu, fikiran Nadia menyelinap ke lembaran memorinya 4 tahun yang silam.

’Dan janganlah kamu mendekati zina; sesungguhnya zina itu adalah suatu perbuatan yang keji dan suatu jalan yang buruk.’ (Al-Isra’ : 32)

Mungkin kerana semilir bayu di pagi hari itu atau mungkin kesan tahajudnya saban malam sebelum SPM diteladeni, sedikit sebanyak telah melentur lembut hatinya yang selama ini membatu keras berselaput kerak dosa. Tatkala dibacanya ayat-ayat Allah itu hatinya sangat terusik lantas bermenung lama memikirkan. Nadia terasa Allah seolah-olah berkata-kata dan menegurnya.

’Dan di antara manusia ada orang-orang yang menyembah tandingan-tandingan selain Allah; mereka mencintainya sebagaimana mereka mencintai Allah. Adapun orang-orang yang beriman sangat cintakan Allah.’ (Al-Baqarah : 165)

Pernah orang bertanya, siapakah yang paling dicintainya. Dia menjawab Allah dan RasulNya. Namun, dia tidak pernah benar-benar mengorek isi hati dan menemui siapa yang sentiasa terpahat di relung hatinya. Begitu juga tidak diselidikinya nama siapa yang sering basah dibibirnya. Ternyata bukan Allah dan Muhammad Nabinya. Tetapi Danial!

Tatkala hidayah meresap di jiwa, dan mengalir di seluruh urat nadinya, Nadia berazam untuk mengikis cintanya terhadap Danial. Dia cuba untuk menolak kesemua ajakan Danial dan tidak langsung menjawab panggilan telefonnya.

Dia tidak langsung memberikan penjelasan kepada Danial; cuma sepotong ayat yang menyatakan mereka tidak boleh lagi bersama. Noktah. Dirasakan dirinya kejam namun dia tidak sanggup hidup di dalam penjara buatannya lagi. Dia mahu bebas dari belenggu rantai maksiat dan keresahan jiwa lantas meraih cinta Allah dengan mempersembahkan apa yang Dia redhai semata. Dengan cara itu sahaja dia dapat mengecap cinta yang agung itu. Cinta seorang mukmin yang sangat cintakan TuhanNya.

dannybasri : hmmmm....tak mengapalah. danny nak maklumkan yang danny akan balik malaysia esok.

Lamunan Nadia terhenti tatkala tulisan Danial bersambung.

dannybasri : InsyaAllah, danny akan melangsungkan walimah 5 hari dari sekarang.

Seakan-akan guruh bergempita di ruangan biliknya, Nadia terkesima. Dia tersandar di atas kerusi. Dibacanya ayat terakhir Danial berulang kali seakan-akan tidak percaya. Gembira? Sedih? Terkejut? Segala-galanya beradun dan berputar dahsyat di dalam hatinya.

Kenapa aku begini? Dia sendiri berasa kaget dengan dirinya. Apa salahnya Danny berkahwin?
Tapi dia masih tetap berasa resah dan aneh. Bukankah telah kubuang dirinya dari hatiku? Bukankah telah kuletak cintaku hanya untuk yang Maha Satu? Takkan aku masih cintakan dia?Mungkin kerana sudah lama dia tidak hadir dalam hidupku menyebabkan kemunculannya kali ini menyentak perasaanku? Ãtau adakah aku masih berharap yang Danial akan kembali kepadaku sebagai insan yang lebih soleh dan memulakan diari cinta kami yang kedua?

Nadia tidak dapat berfikir lurus. Ditariknya nafas panjang dan digagahkan matanya untuk menatap skrin. Danial masih menulis tapi dia tak boleh membaca dengan jelas. Ada manik basah di sekeliling matanya.

dannybasri : jemputlah datang ye nad. danny sudah hantar jemputan pada keluarga nad di malaysia. jika nad ada di malaysia, jangan lupa singgah ye.

Dia nampak bersungguh-sungguh. Di sudut hati, Nadia bersyukur kerana Danial bertemu dengan seorang yang mungkin jauh lebih baik darinya. Tapi di satu sudut yang lain, dia berasa hairan, mengapa tidak dicarinya dia semula? Dia takut lamarannya akan ditolak? Manakan dia akan menolak jika Danny sudah berada di atas jalan yang sama denganya?Mengapa? ?!!

dannybasri: ok nad. gtg. take care. assalamualaikum

dannybasri has signed out. (12/16/2004 12:02 AM)

raudahhuda: danial!!!

Nadia tidak sempat untuk mengejar Danial. Dia benar-benar telah pergi. Pergi seperti mana dia telah ditinggalkannya.
Nadia mengeluh panjang sambil merenung kegelapan malam yang sunyi dan dingin. Hatinya dirasakan sekelam kepekatan malam itu. Mengapa Ya Allah, kau takdirkan perkara ini terjadi padaku?
************ ********* ********* *******

Di dalam kedinginan malam yang syahdu. Kedengaran suara esakan seorang primadona yang bersenandung dengan kekasihNya:

Ya Allah, bukanlah aku mahu menyalahkan takdirMu. Dan bukan juga aku mahu menafikan hakikat yang berlaku. Rupa-rupanya aku membohongiMu Ya Allah. Tatkala aku mengaku aku mencintaimu semata, namun masih terdapat sekelumit rasa cintaku kepada yang bukan milikku.
Ya Allah, sesungguhnya telah kumungkir waktuku terdahulu dengan menjerumuskan diriku dengan cinta yang palsu. Namun hakikatnya, masih kumugkiri lagi ikrarku Ya Allah, kerana detik-detik sebelum pernikahanku, aku masih mendambakan cinta dari manusia.
Aku lupa ya Allah, bahawa pernikahan itu bukanlah segalanya. Pernikahan itu hanya membuka babak baru untuk memajukan langkah dakwah. Mungkin dengan pernikahan itu, aku akan lebih mencintai dunia dari beribadah padaMu Ya Allah. Kerana kadang-kadang godaan terbesar datang dari orang yang paling dekat denganku.
Ya Allah, aku yakin , di sana..jauh atau dekat, ada seseorang yang memang diciptakan untukku. Mungkin seperti danny, mungkin juga lebih baik darinya. Seperkara yang pasti, tidak akan kunangis kerana lelaki lagi ya Allah! Ya Rabbal Alamin..

Subuh pagi hari itu, kedengaran burung-burung gagak berkicauan dengan meriah seolah-olah mahu memberitakan kepada seluruh warga kota Exeter akan kisah primadona Nadia. Senandung Nadia kepada dirinya , biarlah detapan jemari di keyboard malam hari tadi merupakan noktah perbualan yang terakhir antara dia dan Danial.

Dihirupnya udara pagi itu dengan rasa puas, puas dengan rasa cinta pada RabbNya.

0 luahan hati:

Post a Comment

sape nk comment sila klik disini