Salam semua.
Sila lah ambil iktibar. :)
USIA engkau 50 tahun. Dengan akal yang waras, sudah tidak mungkin, sama sekali; engkau mengandung. Tetapi demi Allah yang Maha Kaya dan Hebat, usia 50 tahun bukanlah halangan untuk mencipta satu keajaiban.
Allah Maha Besar. Tidakkah kau mempercayai-Nya?
Selepas solat Zohor, suami engkau menyentuh. Entah apa khayal nakalnya, dia hanya bilang mahu melepaskan keinginan di tanah suci. Engkau memberi. Kemudian seusai mandi kalian berdua bergerak ke Masjidil Haram menerusi pintu Nadwah. Sesudah Asar, berdualah kalian untuk ke Taneim. Di sini engkau berniat umrah dan sebaik pulang ke tanah haram, engkau mulai bertawaf seiring dengan suami mulai jam 6 petang. Ternyata waktu-waktu begini tidak panas kerana matahari sedang turun membenam diri mengikut perintah Ilahi yang menciptakannya tetapi perlahan-lahan juga orang agak ramai untuk bertawaf. Alhamdulillah engkau selesai mengerjakan umrah sebelum azan Isya'. Sempat engkau lihat ke langit, bulan bersabit tergantung di langit, Kaabah yang mulia tersergam agam dan agung entah kenapa membuatkan engkau sebak.
30 tahun berkahwin tanpa anak. Sekali ini engkau rasa amat mahu meminta. Seorang memadai ya Allah. Sesungguhnya isteri Zakaria lebih tua dari aku, rayu engkau kepada Tuhan Yang Maha Esa.
Kemudian engkau duduk di saf sembahyang yang menghadap Kaabah. Masjidil Haram waktu awal malam; dengung bacaan al-Quran berbaur bagai suara lebah merdu bertingkah dengan anak-anak menghilai. Engkau lihat juga petugas Masjidil Haram cekatan mengatur jemaah wanita dan lelaki supaya berasingan, juga bersungguh mencegah jemaah Iran yang terkadang sedikit emosional di depan pintu kaabah dan Maqam Ibrahim bersilih dengan pemandangan kumpulan lelaki dalam kain ihram mendedah bahu kanan bertawaf mengharapkan kebaikan dari Tuhan. Engkau sedikit terganggu, ada jemaah muslimah tergesa mencari saf yang kosong sambil mendukung bayi, mereka mengenakan jubah pelbagai warna. Engkau pejam mata. Engkau buka semula.
Engkau lihat lagi langit, bulan sabit masih molek tersangkut. Kumpulan merpati melayang rendah sesekali hilang di sebalik menara Hilton Mekah, muncul semula di celah istana tetamu yang agam dan kelihatan seolah bertenggek di tingkat suite Dar al Taqwa Intercontinental hotel. Merpati-merpati indah sedang tekun beribadah. Engkau terhidu bau atar mengapung harum menusuk deria hidu dan melihat langit lagi, awan nipis dan angin sesekali sepoi sahaja tiupannya melanggar pakaian pada tubuh, menampar pipi. Engkau bilang tasbih di tangan.
Azan Isya pun berkumandang. Engkau bersembahyang. Lunak suara imam membacakan surah Yaasin, penawar hati di dalam al-Quran.
Kemudian, sesudah solat jenazah usai, engkau meluru ke arah Multazam, sedar engkau tidak ditegah menghampirinya, lantas engkau berdoa lagi. 50 tahun engkau mahu mempunyai anak.
Suami engkau pernah berkata, “Tak apa Hajar. Abang sudah redha dengan ketentuan Allah. Kita bahagia bersama dan tentu sahaja ada hikmah besar yang tidak pernah kita maklumi.”
Tetapi kali ini engkau meminta-meminta-meminta.
Engkau pulang bersama suami, bersama berpimpinan tangan menghala ke Asia Palace, di hadapan kedai runcit berhampiran hotel engkau singgah sebentar untuk membeli air mineral botol besar.
Tiba-tiba engkau disergah nenek negro itu. Ia bertudung serba hitam dan kepam. Pipinya berkedut dan tangannya; sepuluh jari berbalut warna jingga inai yang kian pudar. Matanya kuyu. Bibir nenek negro itu bahagian bawah lebih tebal dari bahagian atas sedikit terjuih dan engkau sedar di kedua-dua lengan terpasang gelang perak yang sarat. Dia berdiri di hadapan muka pintu kedai runcit tidak bersuara dan hanya pergi setelah diberi air mineral sebotol oleh pekedai yang tidak banyak bicara dan semacam mengerti ragam nenek tersebut.
“Ketepi Hajar, nenek gila nak lalu.” Kata suamimu, menghela tangan untuk memberi laluan kepada nenek berkulit legam itu. Dia menoleh ke arah engkau, merenung tepat seolah-olah memahami kata-kata suami engkau dan marah menyala pada matanya terpanah membakar rasa dalam jiwa engkau. Telan air liur engkau telan dan engkau perlahan-lahan cuba tersenyum. Nenek negro masih tajam merenung tanpa reaksi dan kemudian perlahan-lahan dia juga tersenyum.
“Jangan abang cakap begitu lagi lain kali. Marah dia.”
“Argh bukannya dia faham.”
“Tak faham pun tak baik kata begitu, orang gila di kota Mekah jangan-jangan wali Allah.”
Engkau naik ke tingkat atas, makan minum dan sudah lima hari, setiap kali makan tengahari serta makan malam engkau menghimpun pelbagai jenis buah-buahan yang dibekal oleh pakej umrah. Ada pisang, limau, oren dan anggur. Engkau bawa semua naik ke atas dan isi di dalam kampit yang asalnya kecil kini mengembung menjadi besar.
Engkau tidur dengan perut kekenyangan. Sebelum mata terlena, engkau terbayangkan nenek negro lagi. Kemudian engkau lelap terus. Di dalam tidur nenek negro muncul tersenyum kepada engkau dan bersuara. Mula-mula butir katanya tidak jelas tetapi kemudian bicara itu menjadi terang. Nenek negro ternyata fasih berbahasa Melayu dan Arab.
“Siti Hajar, akan aku bacakan ayat kedua surah al-Insan bahawa: Sesungguhnya Kami mencipta manusia daripada nutfah yang bercampur.”
Engkau terjaga, dikejutkan suami dan diminta lagi. Engkau pun memberi. Sesudah selesai, engkau mandi dan azan pertama berkumandang dari Masjidil Haram. Berdua kalian bergerak ke al Haram, engkau jinjit sama kampit berisi buah-buahan.
“Nak buat apa Hajar?” Tanya suami engkau.
“Sedekah, dari tidak dimakan. Kita beri kepada musafir atau orang-orang yang kelihatan merempat tidur di perkarangan masjid.”
Engkau berpisah dengan suami di hadapan eskalator menuju ke pintu Umrah. Janji bertemu sesudah subuh. Engkau sedang melilau mata mencari jika ada orang yang layak disedekahkan buah-buahan itu apabila tiba-tiba muncul nenek negro. Dia senyum kepada engkau. Engkau senyum kepadanya. Engkau unjukkan kampit berisi buah-buahan. Dia lebih senyum.
Nenek negro tiba-tiba di luar duga memegang perut dan menekan rahim engkau.
“Allah berfirman dalam al-Mukminun pada ayat yang empat belas bahawa: Kemudian daripada nutfah Kami jadikannya alaqah.”
Engkau terpinga pada mulanya.
Nenek negro berbisik lagi, “Kemudian daripada alaqah Kami jadikan mudghah.”
Engkau gamam. Sungguh-sungguh gamam.
“Bacalah Hajar ayat-ayat Tuhan dalam surah al-Hajj yang kelima: Kemudian jadilah kamu mudghah yang sempurna kejadiannya dan yang tidak sempurna kejadiannya.”
Engkau menitiskan air mata.
Nenek negro senyum dan menyambung, “Baca jugalah ayat ke sembilan dalam surah as-Sajdah apabila Tuhan mengesahkan: Kemudian Dia menyempurnakan kejadian dan meniupkan roh ke dalamnya dan Dia menjadikan bagi kamu pendengaran, penglihatan dan akal tetapi sedikit sekali kamu bersyukur.”
Kemudian nenek negro pergi membiarkan engkau teresak di hadapan pintu Umrah seorang diri hingga terdengar azan Subuh dilaungkan merdu dan beralun indah menampan kalbu.
Hari demi hari berlalu, dan engkau sedia berangkat untuk pulang ke tanahair. Di hadapan kedai runcit, saat menawar beli buah tin dan zaitun sekali lagi engkau terserempakkan nenek negro yang sama. Masih mengulang laku tempoh hari, berdiri menghadang pintu kedai runcit dan hanya berlalu pergi jika diberi sebotol air mineral. Engkau menegurnya, tetapi dia berbuat endah tidak endah dan sama sekali tidak peduli seolah-olah pekak tuli dan tidak mengerti.
Dia memandang kosong ke arah engkau seolah-olah langsung tidak mengenali. Apakah tandanya Tuhan? Tanya engkau berulang kali.
Sehari kemudian, seusai tawaf wida, engkau pun naik ke dalam bas dan bergerak menuju ke Jeddah. Engkau mengesat air mata, terharu berpisah dengan kebesaran Allah, berharap dapat kembali lagi. Entah bila. Janganlah berpisah terlalu lama. Engkau lempar pandangan ke luar jendela, menyelak langsir dan terlihat seorang wanita yang engkau cam, nenek negro melambai sambil tersenyum. Engkau balas lambaian dan tersedu. Tidak engkau sedari zygote[i] sudah berlaku. Segumpal darah beku ibarat lintah atau endometrium[ii] sedang berlaku di dalam rahim engkau. Bahawa tanda-tanda kebesaran Tuhan sedang terjadi.
Sebulan kemudian di dalam rahim engkau, berkembang somites[iii] menjadi vertebrae[iv] maka tulang-tulang pun membentuk di dalam daging yang terselimut somatic mesoderm[v].
Sungguh-sungguh al-Quran satu mukjizat agung menjelaskan kejadian manusia lebih awal mengatasi pengetahuan ilmu embriologi. Engkau bermimpi lagi apabila kandungan engkau sudah sarat. Demi Allah, nenek negro datang lagi. Kali ini lebih berseri tersenyum menampakkan giginya yang rongak.
“Maka Hajar, tidakkah kau bersyukur dan lebih percaya bahawa Tuhan itu Maha Besar?” Nenek negro memegang tasbih butir seribu, tudungnya lebih kemas dari dahulu dan serba putih bercahaya. Dia bertenggek dengan sebelah tangan memaut runcing bulan sabit di atas langit, di bawah Masjidil Haram berkerlipan cahaya neon dan sibuk manusia beribadat kepada Allah. Nenek negro di kota Mekah pun meresap hilang dari mimpi. 50 tahun dan Tuhan menunjukkan kuasa-Nya.
Usia engkau 50 tahun. Dengan akal yang waras, sudah tidak mungkin, sama sekali; engkau mengandung. Tetapi demi Allah yang Maha Kaya dan Hebat, usia 50 tahun bukanlah halangan untuk mencipta satu keajaiban.
Tidakkah kau kini beriman kepada Tuhan Allah, serta memperakukan Islam itu sebenar-benar deen daripada-Nya?
0 luahan hati:
Post a Comment
sape nk comment sila klik disini